
SHAH ALAM - Siasatan awalan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengenai kejadian letupan saluran gas di Putra Heights mendapati tiada aktiviti pembinaan dilakukan pada hari kejadian.
Pengarah CIDB Selangor, Heryanti Hilmi berkata, laporan yang diterima CIDB daripada kontraktor menunjukkan hanya terdapat kerja-kerja pembentungan yang dilakukan di tapak pembinaan tersebut pada pada 30 Mac, manakala kerja-kerja house keeping pula dilakukan pada 31 Mac.
"Laporan menunjukkan tiada sebarang kerja pembinaan yang sedang berlaku di tapak tersebut pada 1 April iaitu semasa letupan gas berlaku.
"Siasatan di lokasi juga menunjukkan tapak pembinaan 10 unit premis dua tingkat yang dikaitkan warganet dengan letupan paip gas tersebut sebenarnya terletak 30 meter dari lokasi paip gas yang meletup," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Heryanti yang mengetuai Pasukan Penguatkuasaan CIDB Selangor ke lokasi bagi mendapatkan maklumat daripada agensi dan kontraktor terlibat sebagai sebahagian daripada siasatan.
Katanya, pada hari kejadian penolong pengurus projek tersebut yang berada di kediamannya telah menerima panggilan telefon daripada jurutera projek pada jam 8.32 pagi yang memaklumkan terdapat satu insiden letupan dan kebakaran berdekatan tapak bina tersebut.
"Semasa kejadian, terdapat seorang pengawal warga tempatan dan seorang pekerja warga asing berada di tapak pembinaan projek tersebut.
"Kedua-duanya dikejarkan ke hospital akibat kecederaan yang diterima akibat insiden letupan tersebut," tambahnya,
Katanya, kes masih dalam siasatan lanjut kerana CIDB masih menunggu dokumen-dokumen sokongan lain bagi mendapatkan klasifikasi insiden di bawah skop pematuhan Akta 520.




