
SHAH ALAM, 17 OGOS: Polis mengesahkan tiada kejadian cubaan menculik murid di Sekolah Agama KAFA At-Taqwa, Masjid Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang tular di media sosial, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya mengesan satu hantaran di laman sosial berhubung dakwaan berkenaan pada jam 1.15 petang.
Beliau berkata, dakwaan itu bermula selepas seorang pengguna media sosial memuat naik kenyataan kononnya seorang individu cuba membawa pulang kanak-kanak di sekolah berkenaan dengan menggunakan modus operandi menawarkan khidmat hantar balik.
"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh mengesahkan menerima laporan polis daripada ibu pelajar terbabit dan hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati tiada kes cubaan culik seperti yang ditularkan.
“Pelajar berkenaan berada dalam keadaan baik dan selamat bersama keluarganya," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menasihati orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang mendatangkan kegusaran awam mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Sebarang maklumat yang diterima perlukah disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian hotline 24 jam iaitu 03-61579204 (DCC) atau hubungi talian kecemasan 999 terlebih dahulu sebelum menyebarkannya.
"Kesalahan ini boleh didakwa dan dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, ataupun di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu denda maksimum RM50,000, penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya," katanya.






