
IPOH – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara konsisten terhadap aktiviti perlombongan di Hulu Perak walaupun pemantauan menunjukkan kualiti air Sungai Perak kekal berada dalam Kelas II.
Pengarah JMG Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, setiap operasi perlombongan tertakluk kepada syarat ketat terutama membabitkan pengurusan air sisa, kawalan pencemaran dan pelepasan efluen.
Katanya, air daripada aktiviti perlombongan perlu diuruskan dalam sistem terkawal dan tidak boleh dilepaskan ke sungai tanpa melalui rawatan dan memenuhi parameter ditetapkan.
“Pada asasnya, pelombong tidak boleh melepaskan air sesuka hati. Air itu perlu digunakan semula dan jika atas sebab tertentu hendak dilepaskan, ia mestilah dirawat terlebih dahulu mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Pihak lombong tidak boleh melepaskan air jika tidak memenuhi syarat,” katanya ketika taklimat kepada media baru-baru ini.
Rekod JMG menunjukkan tiga syarikat iaitu Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. (RHT), MCRE Resources dan Nalidah Tin Mine digantung operasi selama tiga minggu pada November 2025 selain arahan melaksanakan langkah mitigasi kawalan pencemaran.
Penggantungan MCRE Resources kemudian dilanjutkan pada Disember susulan ketidakpatuhan syarat Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Perintah Berhenti Kerja (PBK) Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Syarikat itu hanya dibenarkan beroperasi semula pada Januari lalu selepas PBK ditarik balik.
Terbaharu, RHT sekali lagi digantung operasi sementara pada 12 Ogos lalu selepas JMG mengesan pelepasan air berasid dengan bacaan pH 2.29 hingga 2.33 dari Detention Pond 4 dan 5.
Tindakan itu susulan pemeriksaan selepas hujan lebat pada 3 Ogos lalu apabila kira-kira 60 milimeter hujan direkodkan dalam sejam, melebihi intensiti maksimum reka bentuk 50 milimeter bagi sistem saliran dan kolam tadahan sedia ada RHT.
“Apabila JMG membuat lawatan, didapati terdapat pelepasan air ke dalam sungai yang tidak dirawat. Jadi kami hentikan sementara operasi sehingga mereka membentangkan cadangan mitigasi. Apabila berpuas hati, baru ia akan dipertimbangkan semula,” katanya.
Sebelum penggantungan itu, JMG beberapa kali mengarahkan RHT menambah baik aspek pengurusan air larian, kawalan hakisan dan penyelenggaraan kolam hampas selain memasukkan bacaan pepejal terampai (TSS) serta konduktiviti dalam laporan harian.
JMG turut mengarahkan kaedah lime dosing yang sebelum ini dilakukan secara terus di sungai dipindahkan ke luar sungai supaya proses rawatan dapat dilakukan sebelum air dilepaskan sekiranya diperlukan.
Bagaimanapun, Nizarulikram berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap RHT dan penentuan punca fenomena air Sungai Perak bertukar biru merupakan dua perkara yang berbeza.
Katanya, sebarang ketidakpatuhan yang dikesan tetap akan dikenakan tindakan, manakala penentuan punca perubahan warna sungai perlu berasaskan bukti termasuk lokasi dan masa kejadian, corak aliran, persampelan serta analisis kualiti air.
The post Tiada kompromi cemar Sungai Perak appeared first on Kosmo Digital.




