
Tiada kompromi lombong langgar peraturan
IPOH: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak akan terus melaksanakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan di Hulu Perak secara konsisten meskipun data pemantauan menunjukkan kualiti air Sungai Perak kekal berada dalam Kelas II.
Pengarah JMG Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, setiap operasi perlombongan tertakluk kepada syarat ketat terutama membabitkan pengurusan air sisa, kawalan pencemaran dan pelepasan efluen.
Menurutnya, air daripada aktiviti perlombongan perlu diuruskan dalam sistem terkawal dan tidak boleh dilepaskan ke sungai tanpa melalui rawatan serta memenuhi parameter ditetapkan.
“Pelombong pada asasnya tidak boleh melepaskan air sesuka hati. Air itu perlu digunakan semula dan jika atas sebab tertentu hendak dilepaskan, ia mesti dirawat terlebih dahulu mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Pihak lombong tidak boleh melepaskan air jika tidak memenuhi syarat,” katanya ketika taklimat kepada media baru-baru ini.
Rekod JMG menunjukkan tiga syarikat iaitu Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT), MCRE Resources dan Nalidah Tin Mine pernah dikenakan penggantungan operasi selama tiga minggu pada November 2025 berserta arahan melaksanakan langkah mitigasi kawalan pencemaran.
Penggantungan MCRE Resources kemudiannya dilanjutkan pada Disember susulan ketidakpatuhan syarat Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Perintah Berhenti Kerja (PBK) Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Operasi syarikat itu hanya dibenarkan semula pada Januari selepas PBK berkenaan ditarik balik.
Terbaharu, RHT sekali lagi dikenakan penggantungan operasi sementara pada 12 Ogos lalu selepas JMG mengesan pelepasan air berasid dengan bacaan pH antara 2.29 hingga 2.33 dari Detention Pond 4 dan 5.
Tindakan itu menyusuli pemeriksaan selepas hujan lebat pada 3 Ogos apabila kira-kira 60 milimeter hujan direkodkan dalam tempoh sejam, melebihi intensiti maksimum reka bentuk 50 milimeter bagi sistem saliran dan kolam tadahan sedia ada RHT.
“Apabila JMG membuat lawatan ke sana, didapati ada pelepasan air ke dalam sungai yang tidak dirawat. Jadi kami hentikan sementara operasi mereka sehingga mereka membentangkan cadangan mitigasi.
“Apabila kami berpuas hati, barulah akan dipertimbangkan semula,” kata Nizarulikram.
Sebelum penggantungan terbaharu itu, JMG juga beberapa kali mengarahkan RHT menambah baik aspek pengurusan air larian, kawalan hakisan dan penyelenggaraan kolam hampas selain memasukkan bacaan pepejal terampai (TSS) serta konduktiviti dalam laporan harian.
JMG turut mengarahkan kaedah lime dosing yang sebelum ini dilakukan secara terus di sungai dipindahkan ke luar sungai supaya proses rawatan dapat dilakukan sebelum air dilepaskan sekiranya diperlukan.
Bagaimanapun, Nizarulikram menjelaskan tindakan penguatkuasaan terhadap RHT dan penentuan punca fenomena air Sungai Perak bertukar kebiruan adalah dua perkara berbeza.
Katanya, sebarang ketidakpatuhan yang dikesan tetap dikenakan tindakan, manakala penentuan punca perubahan warna sungai perlu berasaskan bukti termasuk lokasi dan masa kejadian, corak aliran, persampelan serta analisis kualiti air. – UTUSAN
The post Tiga syarikat pernah digantung operasi sejak 2025 appeared first on Utusan Malaysia.






