
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak terhadap kontraktor Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mengambil mudah dalam isu penyediaan makanan pelajar.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau menerima banyak mesej dan aduan melalui pelbagai platform berhubung dakwaan penyediaan telur rebus berbau busuk kepada pelajar.
“Walaupun saya berada di luar negara, saya sudah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara untuk segera siasat, ambil tindakan tegas dan pastikan kes seperti ini tidak berulang.
“Prinsip saya dalam hal ehwal kebajikan pelajar, tiada kompromi terhadap mana-mana kontraktor dewan selera yang ambil mudah dan enteng dalam isu penyediaan makanan. Jangan hanya mengejar untung atas kesusahan orang lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum itu, tular di media sosial mengenai dakwaan pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh dihidangkan telur rebus busuk sehingga menyebabkan berlaku keracunan makanan.
Asyraf Wajdi berkata, beliau telah meminta laporan penuh daripada pengurusan Mara berhubung perkara tersebut.
“Insya-ALLAH, saya sudah minta laporan penuh daripada pengurusan Mara paling lewat esok,” ujarnya.
