
KUALA LUMPUR - Tiada kompromi untuk mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Memberikan amaran berkenaan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kehilangan nyawa akibat kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu seperti itu adalah satu kecuaian jenayah, dan ia sama sekali tidak boleh diterima.
Tegas beliau, kerajaan amat memandang serius kejadian seumpamanya, dan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku jika disabitkan kesalahan.
““Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Loke menyatakan demikian susulan kemalangan maut yang meragut nyawa Amirul Hafiz Omar di Jalan Raya Barat, Klang, semalam.
Dalam nahas terbabit, pemandu yang melanggar Allahyarham disahkan mabuk dan turut positif dadah.
Insiden sekitar jam jam 11.40 pagi semalam itu menyebabkan mangsa maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Raya Barat.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati Honda City dari arah Jalan Raya Barat menuju Bandar Klang tersebut dipandu seorang lelaki tempatan berusia 20-an dengan kelajuan tinggi dan berbahaya.
Beliau berkata, suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki lorong bertentangan dan merempuh motosikal mangsa, menyebabkan Allahyarham tercampak ke atas kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu yang terlibat kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut.
Mengulas lanjut Loke berkata, pindaan undang-undang berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah telah diluluskan di Dewan Rakyat dan telah berkuat kuasa sejak Oktober 2020, dengan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah.
Mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda antara RM50,000 dan RM100,000 jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan berulang, hukuman yang lebih berat boleh dikenakan, iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan denda antara RM100,000 dan RM150,000.
Dalam perkembangan berkaitan, Loke turut menggesa pihak polis mempercepatkan siasatan menyeluruh supaya kertas siasatan dapat dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan.
Beliau turut melahirkan harapan agar mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat sekiranya tertuduh didapati bersalah.
"Kerajaan komited untuk terus memperkukuhkan undang-undang dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjaga," katanya. – Getaran, 30 Mac 2026
