Tiada kuota! Imigresen mahu teruskan penghantaran pulang pelarian Myanmar

LocalPolitics
6 Oct 2026 • 2:50 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan meneruskan usaha penghantaran pulang pelarian Myanmar meskipun jumlah 5,000 individu yang dipersetujui sebelum ini bersama Kerajaan Myanmar telah dicapai.

Image from: Tiada kuota! Imigresen mahu teruskan penghantaran pulang pelarian Myanmar

Foto: Astro Awani

Memetik laporan MalaysiaGazette, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya ketika ini masih menunggu maklum balas termasuk penetapan tarikh susulan rundingan antara Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kerajaan Myanmar sebelum fasa kedua proses penghantaran pulang dapat dilaksanakan.

Menurut beliau, JIM bersedia menguruskan keseluruhan aspek operasi sebaik sahaja keputusan dan tarikh rasmi diterima, termasuk proses mengenal pasti individu yang terlibat untuk dihantar pulang.

“Setakat ini kita sudah menghantar pulang 1,426 orang, jadi baki lebih 3,000 orang lagi untuk mencapai angka 5,000 yang dipersetujui sebelum ini.
“Namun, selepas 5,000 itu habis, operasi ini akan diteruskan. Kita tidak menetapkan kuota. Kalau boleh, kita mahu semua yang berkenaan dihantar pulang,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Mengulas jumlah pelarian Myanmar yang berada di negara ini, Zakaria berkata, angka sebenar sukar ditentukan kerana JIM tidak mempunyai data konkrit dan bergantung kepada rekod yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Berdasarkan data UNHCR, jumlahnya sekarang lebih 200,000 orang, tetapi jumlah sebenar mungkin berbeza,” jelasnya.

Image from: Tiada kuota! Imigresen mahu teruskan penghantaran pulang pelarian Myanmar

Zakaria menjelaskan, pihak imigresen berada dalam keadaan bersedia untuk melaksanakan fasa seterusnya sebaik sahaja hasil rundingan antara KLN dan Kerajaan Myanmar dimuktamadkan.

“Bila tarikh sudah diperoleh, kita akan buat pengoperasian termasuk mengenal pasti individu yang akan dihantar pulang,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata isu membabitkan aktiviti warga asing di premis tertentu tidak boleh dilihat daripada aspek imigresen semata-mata kerana terdapat perkara seperti pelesenan yang berada di bawah bidang kuasa agensi lain.

Sehubungan itu, tindakan secara bersepadu bersama agensi berkaitan akan dilaksanakan sekiranya terdapat aktiviti yang didapati melanggar peraturan atau peruntukan di bawah Akta Imigresen.

Pada masa sama, orang ramai digalakkan membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat melalui saluran aduan rasmi JIM sekiranya mengesan individu bukan warganegara yang disyaki melakukan pelanggaran undang-undang.

Maklumat yang diterima akan membolehkan pihak imigresen menjalankan semakan dan mengambil tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sumber: MalaysiaGazette Kasthuri (Jeevendran)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved