
BAGI pelakon muda Erysha Emyra, ada fasa dalam hidup yang jauh lebih berat untuk dihadam apabila kehilangan insan paling dekat di hati, iaitu bapanya, Allahyarham Datuk Zakaria Abdul Rahman.
Pemergian Allahyarham pada 29 Mei lalu bukan sekadar satu berita duka, sebaliknya meninggalkan ruang kosong yang besar dalam kehidupan gadia itu yang selama ini sangat rapat dan bergantung secara emosi dengan arwah ayahnya.
Dalam keadaan masih cuba menyesuaikan diri dengan realiti baharu itu, Erysha mengakui dia kini berada dalam fasa menerima dan belajar berdamai dengan rasa rindu yang tidak pernah surut.
“Saya memang sangat rapat dengan ayah. Saya anak yang sangat manja dengan dia.
"Bila dia sudah tiada, memang rasa kosong itu sangat besar,” luahnya.
Menurutnya, walaupun hati masih belum benar-benar pulih, tanggungjawab sebagai anak seni menuntut dia untuk terus melangkah ke set penggambaran seperti biasa.

“Buat masa sekarang saya cuba ketepikan dulu perasaan itu kerana masih ada komitmen kerja.
"Setiap hari perlu masuk set dan teruskan seperti biasa. Mungkin selepas selesai semua ini, barulah saya benar-benar hadap apa yang saya rasa,” katanya.
Dalam pada itu, Erysha turut mengimbau detik sukar ketika bapanya mula kritikal dan dimasukkan ke hospital. Ketika itu, jadual kerja yang padat membuatkan masa bersama arwah menjadi sangat terhad.
Namun dia tidak menafikan rasa syukur terhadap pihak produksi drama Ikatan Terlarang yang memberi kerjasama penuh apabila dimaklumkan mengenai keadaan bapanya yang semakin meruncing.
“Waktu itu memang saya sangat sibuk. Tapi bila saya beritahu ayah dimasukkan ke kecemasan, pihak produksi terus beri saya cuti. Tak sampai beberapa jam, saya dapat bersama keluarga,” jelasnya.
Lebih menyentuh hati, Erysha sempat berada di sisi Allahyarham sehingga detik terakhir pemergiannya di Unit Rawatan Rapi.
“Saya bersyukur sangat sebab dapat bersama ayah sampai saat akhir.
"Kalau saya masih di set dan hanya dapat berita melalui telefon, mungkin saya akan lebih terkilan,” katanya.
Allahyarham Datuk Zakaria Abdul Rahman dilaporkan ditidurkan selepas berada dalam keadaan kritikal sebelum menghembuskan nafas terakhir beberapa hari kemudian.
Mengulas soal perjalanan hidup selepas kehilangan itu, Erysha memilih untuk reda dan percaya setiap ujian datang dengan hikmah tersendiri, meskipun ia tidak mudah untuk ditelan.

“Bukan mudah untuk sesiapa pun. Tapi saya percaya lama-lama kita akan reda.
"Sekarang mungkin saya sudah tiada doa daripada seorang ayah, tetapi saya perlu teruskan doa untuk dia,” katanya.
Antara pesanan terakhir arwah yang masih tersemat di ingatan ialah supaya Erysha menjaga keluarga, memikul tanggungjawab yang ditinggalkan serta memastikan hubungan kekeluargaan terus utuh.
“Dia pesan supaya saya jaga keluarga dan jangan biarkan kami berpecah. Itu yang saya cuba pegang sekarang,” ujarnya.
Sumber: OhBulan!





