Tiada Lagi Subsidi Elektrik, Haji Untuk T20 – PM

LocalPolitics
22 May 2023 • 1:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan sempena Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan golongan berpendapatan tinggi atau T20 tidak akan lagi menerima sebarang subsidi sama ada untuk penggunaan elektrik mahupun menunaikan haji.

Menurutnya, Pangkalan Data Utama (PADU) iaitu sistem penyelarasan data yang dijangka siap hujung tahun ini akan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.

“Kita tidak naikkan kadar elektrik melainkan kepada T20 sahaja iaitu, rumah besar tidak akan diberi subsidi elektrik. Pangkalan data utama (PADU) akan dapat menyelaraskan semua angka yang disebut.

“Ini sama seperti bantuan kewangan haji kepada B40 kita tambah, tetapi kepada T20 tidak akan ada lagi tambahan dan subsidi daripada kerajaan. Mereka (T20) harus berbelanja sepenuhnya kos haji kerana mereka mampu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang mahu mengetahui dasar-dasar baharu dan drastik yang sudah dilaksanakan sejak memimpin Malaysia bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menampung kenaikan kos mengerjakan haji untuk golongan B40 dan M40 yang meningkat tahun ini.

Katanya, kerajaan bersetuju menampung sepenuhnya kenaikan kos untuk golongan B40.

“Lembaga Tabung Haji (TH) berkata kos haji meningkat. Namun, untuk bakal jemaah dari golongan B40, mereka tidak perlu membayar kos tambahan. Kerajaan akan menampung kenaikan kos untuk mereka.

“Golongan M40 perlu menanggung kenaikan kos RM3,000, manakala golongan T20 pula perlu membayar kos haji dengan harga penuh tanpa sebarang subsidi daripada kerajaan,” katanya. – Getaran, 22 Mei 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved