
KUALA LUMPUR - Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) mengesyorkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mengenakan caj minimum kepada orang ramai yang mendapat bekalan ubat-ubatan di fasiliti kesihatan awam.
Presidennya, Amrahi Buang berkata, langkah itu cara terbaik dalam usaha menangani isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di negara ketika ini.
Menyifatkan isu tersebut sebagai serius, beliau berkata, terdapat kecenderungan pesakit yang mendapat bekalan ubat secara percuma tetapi tidak menggunakannya sekaligus mengakibatkan pembaziran peruntukan kerajaan.
“Bila bagi free, jadi faham-fahamlah apa jadi. Ada yang tidak menghargainya. Mereka datang ambil (ubat) tapi tak makan. Dan kalau ubat diambil itu mahal memang satu pembaziran. Maknanya ada benda tak kena.
“Tak ada benda yang percuma. Dalam sektor awam, ia menggunakan dana awam, daripada duit pembayar cukai, jadi mana yang percumanya?” soalnya ketika dihubungi Getaran, hari ini.

Menurut beliau, langkah tersebut sudah pun dilaksanakan hospital separa kerajaan di negara ini.
“Saya dulu bekerja di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), mereka sudah pun melaksanakan langkah itu. Kakitangan awam tiada bayaran tapi untuk orang awam dikenakan caj perkhidmatan dan ubat-ubatan.
“Bagi ubat mahal misalnya, caj yang dikenakan tidaklah semahal hospital atau klinik swasta. Jadi langkah itu boleh dilakukan, cuma terpulang kepada kerajaan sama ada mahu melaksanakannya,” katanya.
Amrahi turut menyambut baik keputusan KKM yang bersetuju membenarkan fasiliti kesihatan swasta meminjam bekalan ubat daripada kemudahan kesihatan swasta lain atau fasiliti kesihatan kerajaan terdekat bagi kegunaan kecemasan.
Bagaimanapun beliau berkata, respons terbaharu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai langkah itu membuktikan isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di klinik dan hospital swasta serta farmasi komuniti di negara ini di tahap serius.
“Sebenarnya MPS sudah jangkakan isu ini akan berlaku dan saya sendiri sudah keluar kenyataan Oktober tahun lalu, minta kerajaan melakukan persediaan sewajarnya.
“Jadi apabila kerajaan sampai respons di peringkat ini, maknanya isu itu dianggap serius. Maksudnya negara kita tidak bersedia dari awal mengenai isu ini,” katanya.

Amrahi berkata, kerajaan perlu lebih aktif mengawal bekalan ubat-ubatan sepertimana dilakukan di negara-negara lain.
“Kalau kita tengok di negara lain, isu sebegini tak berlaku kerana kerajaan mengawal segalanya. Kerajaan memainkan peranan aktif untuk memastikan bekalan ubat di negara mereka sentiasa ada.
“Namun berbeza di negara kita yang memiliki sistem ‘two tier’ iaitu wujudnya fasiliti kesihatan awam dan swasta. Kadang-kadang harga ubat di fasiliti swasta pun berbeza-beza. Memang peliklah.
“Jadi tak mengapalah, dah sistem kita memang macam tu. Diharap isu tersebut dapat membuka mata kerajaan untuk mencari solusi terbaik bagi menanganinya,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, fasiliti kesihatan swasta boleh meminjam bekalan ubat daripada kemudahan kesihatan swasta lain atau fasiliti kesihatan kerajaan yang terdekat bagi kegunaan kecemasan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu bagi menangani isu kekurangan bekalan ubat, sama ada di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta.
Katanya, pada masa sama fasiliti kerajaan yang memberi bekalan kepada fasiliti swasta itu, perlu memastikan terlebih dahulu ketersediaan dan baki stok ubatnya mencukupi untuk kegunaan harian. - Getaran, 19 Jun 2022

