Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan tiada lesen baharu bagi aktiviti perjudian dikeluarkan di negara ini sejak 1990-an, manakala peranan kementerian tertumpu kepada pengawalseliaan operasi berlesen yang sedia ada.

Foto: NST
Memetik laporan Utusan Malaysia, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebarang perubahan dasar berhubung perjudian perlu diteliti dengan mengambil kira beberapa pertimbangan, termasuk peruntukan undang-undang dan kemampuan penguatkuasaan.
Menurutnya, penilaian itu turut perlu merangkumi risiko pertambahan kegiatan perjudian tanpa lesen serta kesannya terhadap kesejahteraan masyarakat majmuk.
“Dari segi pengawalseliaan, MoF sentiasa komited dalam usaha menilai keberkesanan kerangka kawal selia sedia ada bagi memastikan aktiviti perjudian berlesen beroperasi dalam lingkungan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau memberikan penjelasan itu menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen kepada soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai dasar, pertimbangan dan halangan kerajaan untuk menghentikan pengeluaran atau pembaharuan lesen perjudian.
Amir Hamzah berkata, usaha memperkukuh kawalan terhadap kegiatan perjudian turut dilaksanakan melalui kerjasama dengan agensi penguat kuasa, orang awam dan pihak berkepentingan.
“MoF turut bekerjasama dengan semua pihak, termasuk agensi penguat kuasa, orang awam serta pihak berkepentingan bagi memperkukuh langkah pengawalseliaan dan penguatkuasaan untuk membendung dan membanteras aktiviti perjudian tidak berlesen.
“Aduan dan maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram akan disalurkan kepada agensi penguat kuasa yang berkenaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” tambahnya lagi.
Sumber: Utusan Malaysia (Hasif Idris)




