
Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang bersama kakaknya dilanggar kereta yang dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun, semalam.
Mangsa, Nur Shafiqah Abdullah, 32, yang juga seorang peniaga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Jalan Kuala Kedah akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.
Sementara kakaknya, Nooraliza Abdullah, 43, mengalami kesakitan di bahagian dada, pinggang dan kaki kiri.
Menurut laporan polis, kemalangan itu berlaku pada 7.05 malam membabitkan sebuah motosikal Honda Wave dengan sebuah kereta Proton Satria.
Wanita usia 32 maut manakala kakaknya 43 cedera selepas motosikal mereka dilanggar kereta Proton Satria yang dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun.
Kejadian dekat stesen minyak di Jalan Kuala Kedah.
Kereta berkenaan dipercayai terbabas dan langgar motosikal mangsa. pic.twitter.com/Ku5HPHK5UL
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) October 23, 2023
Polis menyatakan motosikal yang ditunggangi mangsa dari lampu isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah manakala kereta Proton Satria terbabit dari arah bertentangan.
“Pemandu kereta itu hilang kawalan melanggar pembahagi tengah jalan lalu memasuki jalan bertentangan terus merempuh motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa.
“Kejadian berlaku ketika cuaca hujan dan jalan basah,” kata Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali.
Mengulas lanjut, suspek merupakan seorang remaja perempuan yang tidak bekerja dan tidak bersekolah dipercayai memandu kereta milik rakan ibunya.
Pemeriksaan mendapati, remaja berkenaan tidak memiliki lesen dan hanya mengalami luka di bahagian hidung dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saman turut dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan remaja bawah umur memandu.
Sumber: Buletin TV3
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


