
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada pihak terbabit kegiatan ‘mafia korporat’ akan dilindungi, malah laporan lengkap siasatan yang diketuai Peguam Negara akan didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan menepis tanggapan bahawa terdapat pihak tertentu yang dilindungi daripada tindakan undang-undang.
“Jadi, ini akan menunjukkan bahawa tidak ada yang diliindungi. Apa disebut, ada bukti, keluarkanlah. Tak kiralah yang disebut dari nama Azam Baki ke Farhash atau Victor Chin.
“Tapi, biar kita dapat pendedahan sepenuhnya dalam jawatankuasa khas yang diketuai oleh Peguam Negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian, menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang membangkitkan persoalan mengenai mafia korporat, nasib wang dan aset bernilai berbilion ringgit yang dirampas.
Selain itu, Mohd Sany turut bertanya sama ada aset berkenaan digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad.
Menjawab perkara itu, Anwar berkata wang dan aset yang dirampas serta disita akan dimasukkan ke dalam dana disatukan (consolidated fund) untuk dimanfaatkan bagi kepentingan rakyat.
Katanya, usaha membendung ketirisan membolehkan kerajaan menyediakan dana lebih besar untuk membantu rakyat, termasuk menerusi program pembasmian kemiskinan dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Aset ini yang dirampas, disita, itu masuk ‘consolidated fund’. Sebab dan mengapa saya boleh belanja lebih untuk rakyat, kemiskinan, STR, kerana sebahagiannya itu kerana kita dapat elak ketirisan dan kumpulkan dana yang besar,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Anwar telah mengarahkan Peguam Negara mengetuai pasukan petugas khas yang melibatkan semua agensi penguat kuasa bagi menyelaraskan siasatan berkaitan dakwaan kegiatan jenayah korporat.
Antara agensi yang terlibat ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah , Polis Diraja Malaysia, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada mafia korporat dilindungi, ada bukti keluarkan – PM appeared first on Kosmo Online.





