‘Tiada majlis, tetamu, hanya kami berdua...’ – Dari pernikahan sederhana di Seoul, Ryzal imbas 7 tahun bersama Maryam, kini dikurnia 2 anak

Family & ParentingLifestyle
17 Aug 2026 • 1:06 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Tiada majlis, tetamu, hanya kami berdua...’ – Dari pernikahan sederhana di Seoul, Ryzal imbas 7 tahun bersama Maryam, kini dikurnia 2 anak

MASA cepat betul berlalu, pejam celik rupanya sudah tujuh tahun pasangan pempengaruh popular, Ryzal Ibrahim dan Maryam Younarae melayari bahtera rumah tangga bersama.

Mengimbas kembali detik indah perkahwinan yang dibina pada 15 Ogos 2019 di Masjid Itaewon, Seoul, Korea Selatan, Ryzal mencuri perhatian ramai apabila memuat naik titipan ucapan yang cukup bermakna di platform media sosial miliknya sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketujuh.

Dalam perkongsian yang penuh sentimental itu, anak kelahiran Kelantan itu memberitahu betapa serba ringkas dan sederhananya majlis pernikahan mereka sewaktu di Korea Selatan tanpa sebarang keraian meriah.

Dedah personaliti media sosial itu lagi, hari bahagia mereka berlalu dengan penuh kesederhanaan tanpa sebarang majlis persandingan mahupun tetamu yang ramai.

"Tujuh tahun lalu (2019), hari pernikahan Ryzal dan Maryam tiada sesi fotografi, majlis resepsi, hadiah perkahwinan, tetamu dan bulan madu. Hanya kami berdua sahaja," kata Ryzal mengimbas kenangan manis permulaan ikatan suci mereka.

Namun, aturan takdir sungguh indah apabila kehidupan pasangan yang terkenal dengan gelagat humor serta keakraban mereka ini berubah secara drastik menerusi pelbagai rezeki yang melimpah-ruah.

Menurut Ryzal atau nama sebenarnya Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim lagi, bahtera perkahwinan yang dibina kini semakin berseri dengan kehadiran dua cahaya mata serta sokongan yang tidak pernah putus daripada peminat dan pelbagai pihak.

Image from: ‘Tiada majlis, tetamu, hanya kami berdua...’ – Dari pernikahan sederhana di Seoul, Ryzal imbas 7 tahun bersama Maryam, kini dikurnia 2 anak

"Sekarang (2026), dah ada dua orang anak, foto dan video kami ada di mana-mana skrin, TV dan pelbagai lagi.

“Kami sentiasa menerima hadiah sejak hari pertama kami muncul di skrin. Klien kini menjadi tetamu kami. Setiap bulan rasanya seperti bulan madu buat kami," luah Ryzal menceritakan perbezaan dan nikmat kehidupan mereka kini.

Menutupi perkongsian yang cukup menyentuh hati itu, lelaki berusia 31 tahun itu turut menitipkan ucapan romantis buat isteri tercinta yang sentiasa setia berada di sisinya dalam suka dan duka.

"Selamat ulang tahun perkahwinan ketujuh buat isteri tercinta, @maryamyunrrr," katanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut dan warganet tidak membuang masa membanjiri hantaran tersebut dengan pelbagai ucapan serta doa. 

Malah, ada juga yang sempat berseloroh mengimbau kenangan awal kemunculan Maryam yang pernah tular suatu ketika dahulu. 

"Terngiang-ngiang lagi ayat Maryam dulu 'laparre nak mampush'. Selamat ulang tahun perkahwinan DurianKimchi," seloroh seorang pengikut.

Image from: ‘Tiada majlis, tetamu, hanya kami berdua...’ – Dari pernikahan sederhana di Seoul, Ryzal imbas 7 tahun bersama Maryam, kini dikurnia 2 anak

Selain itu, ramai yang mengagumi kepimpinan Ryzal selaku suami yang sentiasa sabar membimbing isterinya sehingga memenangi hati ramai. 

"Tahniah Ryzal dan Maryam. Awak suami yang hebat dapat bimbing Maryam ke tahap ini. Isteri itu cerminan suami. Walaupun mula-mula dulu aku menyampah betul dengan kau Ryzal, tapi sekarang persepsi aku dah berubah. Salute kau brader," puji salah seorang netizen. 

Seorang lagi warganet turut meletakkan penghargaan atas keperibadian Ryzal.

"Saya suka sangat tengok perkahwinan korang. Terima kasih masih menjadi lelaki yang baik dan tidak bermasalah," ujarnya.

Perkongsian berkenaan turut diiringi dengan doa murni agar perkahwinan mereka kekal bahagia serta mendapat limpahan rezeki. "Semoga sentiasa dalam rahmat ALLAH SWT buat Ryzal dan keluarga. Betul lah rezeki kahwin dan rezeki anak itu wujud," tulis seorang netizen. 

"Ya ingat time uols bergaduh kat dapur sempit bila masak kat Korea dulu dulu ..now rezeki melimpah ruah ..moga uols bersyukur selalu dan bahagia sampai ke Surga Firdaus..Aamin ya Mujib Ya Arhamarrahimin," tambah yang lain mendoakan kebahagiaan pasangan ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved