Tiada masalah padam hantaran, tunggu kenyataan rasmi pihak berwajib – Sherry Ibrahim

2 Aug 2026 • 5:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada masalah padam hantaran, tunggu kenyataan rasmi pihak berwajib – Sherry Ibrahim

PETALING JAYA: Pelakon, Sherry Ibrahim mengakui tidak mempunyai masalah untuk memadam hantaran yang memaparkan wajah individu yang didakwa membunuh seekor anjing bernama Rocky, meskipun ketika itu dia belum mengetahui keseluruhan kronologi kejadian.

Sherry atau Syarizad Ibrahim, 43, berkata, tindakan tersebut bukan bertujuan untuk menuduh atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya dibuat kerana insiden berkenaan memberi kesan mendalam kepadanya sebagai pencinta haiwan.

Menurutnya, dia bersedia menurunkan hantaran tersebut pada bila-bila masa, namun berharap pihak berkuasa terlebih dahulu tampil memberikan penjelasan rasmi mengenai kejadian berkenaan.

“Saya bukan berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak. Cuma, isu berkaitan penganiayaan terhadap haiwan sangat memberi kesan kepada saya kerana saya seorang yang menyayangi haiwan, tidak kira apa jenis haiwan sekalipun.

“Saya tiada masalah untuk menurunkan hantaran tersebut. Namun, saya berharap pihak berwajib dapat mengeluarkan kenyataan rasmi terlebih dahulu bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku ketika kejadian itu. Sekurang-kurangnya, tindakan sudah diambil,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Dalam pada itu, Sherry menegaskan pendiriannya terhadap isu berkenaan dan menyifatkan terdapat pelbagai kaedah lain yang boleh digunakan bagi menangani situasi tersebut tanpa perlu menyebabkan penderitaan kepada haiwan.

Katanya, setiap tindakan perlu dibuat berdasarkan peruntukan akta serta undang-undang yang ditetapkan.

“Saya akan berpihak kepada apa yang saya rasakan. Ada banyak cara untuk menyelesaikan sesuatu perkara dengan lebih bijak mengikut akta dan undang-undang.

“Menyiksa serta membunuh haiwan dengan cara sedemikian adalah salah. Sedangkan terdapat kaedah lain yang tidak menyebabkan Rocky terseksa dan mati di tempat kejadian.

“Saya tidak berasa bersalah kerana mempunyai simpati dan empati terhadap apa yang berlaku kepada Rocky. Mereka yang bersalah perlu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka. Tidak semua orang mempunyai pandangan dan pemahaman yang sama,” katanya.

Sebelum ini, Sherry mencetuskan perhatian selepas berkongsi wajah individu yang didakwa membunuh Rocky, seekor anjing yang dikatakan menyerang seorang individu sehingga menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun, tindakan tersebut dibuat berdasarkan sebuah rakaman video yang didakwa tidak menunjukkan keseluruhan kronologi kejadian. -UTUSAN

The post Tiada masalah padam hantaran, tunggu kenyataan rasmi pihak berwajib – Sherry Ibrahim appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved