
PETALING JAYA – Polis masih menyiasat bagaimana juruterbang Malaysia Airlines berjaya melepasi pemeriksaan di KLIA ketika membawa kira-kira 25 kilogram dadah ke Indonesia, namun tiada petunjuk pembabitan orang dalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil soal siasat mendapati juruterbang berusia 39 tahun itu bertindak secara solo ketika melepasi pemeriksaan berkenaan.
“Hasil soal siasat mendapati tiada petunjuk yang menjurus kepada pembabitan orang dalam di KLIA. Ini bermaksud dia bertindak secara solo ketika melepasi pemeriksaan dan perkara ini perlu diperhalusi bagi mengetahui bagaimana dadah berkenaan tidak dapat dikesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, PDRM setakat ini berpuas hati tiada pembabitan orang dalam dalam proses berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kaedah digunakan juruterbang itu untuk melepasi pemeriksaan tidak didedahkan bagi memastikan siasatan tidak terjejas.
Menurut Hussein, hasil soal siasat turut mendapati juruterbang berkenaan dipercayai sudah beberapa kali membawa dadah keluar dari Malaysia ke beberapa negara sejak 2024.
“Dia terbabit sejak 2024 dengan peranannya membawa dadah keluar dari negara ke beberapa destinasi mengikut jadual penerbangannya.
“Ini bukan kali pertama kerana dia sudah beberapa kali membawa dadah ke beberapa negara,” katanya.
Hussein berkata, juruterbang berkenaan masih ditahan Polis Republik Indonesia dan perlu melalui proses undang-undang di negara itu.
Media sebelum ini melaporkan lelaki warga Malaysia berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, pada 29 Julai lalu selepas tiba dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan MH727. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada orang dalam, pilot seludup dadah melalui KLIA secara ‘solo’ appeared first on Kosmo Digital.






