
KUALA LUMPUR – Tiada pagar besi atau kawat berduri akan dipasang di luar kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta, susulan persiapan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri tersebut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kawalan keselamatan di kediaman berkenaan tidak melibatkan sebarang kawalan ketat setakat ini.
“Tak ada (pagar besi atau kawat berduri). Itu rumah biasa. Jadi kawalan seperti biasa, pagar besi semua itu ‘rumours’ sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman berkenaan hari ini.
Menurut beliau, pihak polis bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan di bahagian luar kediaman, manakala Jabatan Penjara Malaysia menguruskan aspek tahanan di bahagian dalam.
“Pihak penjara akan bertanggungjawab di bahagian dalam, manakala pihak polis di bahagian luar,” katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan tahanan rumah berkenaan, Anuar Bakri berkata, keputusan itu masih belum dimuktamadkan kerana pihak berkuasa terutamanya Polis masih belum menerima perintah berkenaan.
“Perintah itu belum kita terima. Ia akan dimuktamadkan apabila perintah itu disepakati dan ada syaratnya,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini tiada perincian lanjut mengenai syarat tahanan rumah berkenaan, sebaliknya pihak polis dan Jabatan Penjara hanya menjalankan persiapan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Terdahulu, Anuar Bakri bersama beberapa pegawai kanan Jabatan Penjara Malaysia dilihat hadir di kediaman Najib bagi mengadakan perbincangan berkaitan aspek keselamatan dan pengurusan tahanan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pegawai Jabatan Penjara yang hadir bukan Ketua Pengarah Penjara, sebaliknya terdiri daripada pegawai kanan jabatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada pagar besi dan kawat berduri bakal dipasang di kediaman Najib appeared first on Kosmo Online.






