
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak minggu lalu, tular di media sosial berhubung seekor anjing yang didakwa mati kerana terjerut sewaktu operasi tangkapan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pelabuhan Klang, Selangor.
Kes mengenai anjing mati terjerut itu kemudiannya mendapatkan perhatian ramai serta mahukan pihak PBT memberikan penjelasan mengenai isu berkenaan.
Tangkapan anjing liar ikut SOP
Terbaharu Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tampil memaklumkan tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam tangkapan anjing liar yang dilakukan pihaknya yang mengakibatkan kematian seekor anjing di Taman Teluk Gedung Indah, Klang pada minggu lalu.
Jelas Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain sebaliknya situasi yang berlaku adalah perebutan daripada individu yang mendakwa sebagai pemilik kepada anjing terbabit sehingga mengganggu operasi tangkapan yang dilakukan itu.
Ikut SOP ditetapkan KPKT, tangkapan dibuat guna ‘loop’ dan jaring
Katanya, kaedah yang digunakan pihak MBDK mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Kalau ikut penjelasan pegawai dan anggota terbabit kita mengikut SOP ditetapkan. Tangkapan menggunakan ‘loop’ ataupun menggunakan jaring, itulah kaedah yang kita gunakan.
“Pada operasi malam itu, kita berjaya menangkap 12 anjing dengan kerjasama penduduk. Cuma insiden berlaku apabila kita cuba menangkap anjing yang ke-13.
“Akibat daripada perebutan oleh penduduk yang mengaku sebagai pemilik itu, haiwan berkenaan terjerut sehingga menyebabkan kematian,” jelasnya, lapor Berita Harian.
Menurutnya lagi, individu yang mendakwa pemilik kepada anjing terbabit sepatutnya datang membuat tuntutan ke atas haiwan tersebut selepas ia ditangkap mengikut prosedur yang sudah ditetapkan.
Awalnya mengaku pemilik anjing, kemudian kata bukan. Kes diserah kepada polis untuk jalankan siasatan
Walau bagaimanapun, individu berkenaan kemudiannya mendakwa anjing yang ditangkap bukan miliknya.
“Kalau ikut kenyataan awal, dia cakap anjing itu miliknya, tapi akhir sekali dia cakap bukan pula. Jadi kita tak tahu. Jadi, kita serahkan kepada polis menjalankan siasatan dan tindakan lanjut akan dibuat selpas siasatan selesai.
“Setakat ini, dua pegawai MBDK yang berkaitan sudah pun dipanggil untuk memberi keterangan di balai polis.”
Persepsi masyarakat mengenai kaedah tangkapan anjing berbeza
Beliau turut menjelaskan bahawa persepsi masyarakat ke atas kaedah tangkapan anjing adalah berbeza. Akan tetapi pihaknya perlu untuk mengambil kira aspek keselamatan penduduk dan juga anggota.
Bahkan beliau turut mengatakan anjing adalah haiwan yang boleh bertindak agresif maka ia tidak boleh ditangkap secara lemah lembut kerana boleh membahayakan selain boleh terlepas.
“Kalau kita tangkap anjing macam tangkap rama-rama mungkin berbeza sebab bila anjing ini satu binatang yang agresif, kita tak boleh nak tangkap secara lemah lembut kerana ia boleh membahayakan kita dan juga boleh terlepas,” jelasnya.
Dah beri notis awal ikut prosedur KRT
Abd Hamid turut memaklumkan bahawa notis berhubung operasi tangkapan anjng liar juga sudah dikeluarkan lebih awal mengikut Kawasan Rukun Tertangga (KRT).
Malah operasi itu turut melibatkan 11 anggota MBDK bersama sekitar 50 orang penduduk.
Operasi tangkapan anjing liar dibuat kerana terima banyak aduan daripada penduduk
Menurutnya, tindakan itu dibuat selepas pihaknya menerima banyak aduan pada setiap bulan berhubung anjing liar yang berkeliaran serta boleh mengganggu keselamatan penduduk.
“Kita menerima kira-kira 50 aduan anjing liar setiap bulan. Masalah ini agak kritikal di kawasan berkenaan dan tindakan dibuat berdasarkan aduan diterima,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menjelaskan pihaknya turut berdepan dengan kekangan dalam menangani masalah anjing liar ekoran kekurangan anggota dan kesukan mendapatkan syarikat swasta untuk melakukan operasi penangkapan haiwan itu.
Ada mangsa kena kejar anjing liar sehingga koma
Sebelum ini, MBDK melaporkan seorang pemuda koma lebih seminggu selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ketika dikejar sekumpulan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah pada 13 Julai lalu.
Menurut Kosmo, seorang penduduk berkata mangsa pada mulanya telah dikejar oleh enam ekor anjing liar hampir 100 meter (m) sebelum gagal mengawal motosikalnya ketika melalui bonggol menyebabkannya terjatuh dan kepala terhentak di permukaan jalan.
“Penduduk yang berada berhampiran segera menghalau anjing-anjing tersebut sebelum memberikan bantuan kepada mangsa.
“Akibat kecederaan parah di kepala, mangsa koma lebih seminggu dan terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala di Hospital Tengku Ampuan Rahimah,” kata penduduk berkenaan.
Difahamkan mangsa sudah pun sedar namun masih menerima rawatan di wad serta dipantau rapi oleh pasukan perubatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan membunuh haiwan
Terdahulu media melaporkan operasi penangkapan anjing liar oleh MBDK menjadi kecoh selepas ada individu yang didakwa bertindakan agresif apabila mengugut menggunakan pisau dan menghalang anggota penguat kuasa melakukan tugas.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, beliau mengesahkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan membunuh haiwan.






