SHAH ALAM - Tiada pelanggaran syarat dikesan berhubung kemasukan babi hidup ke Selangor melalui Pelabuhan Klang setakat ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, kemasukan haiwan itu perlu mematuhi semua peraturan ditetapkan termasuk prosedur ketat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima daripada jabatan itu, babi hidup perlu dibawa terus ke tempat penyembelihan tanpa singgah di lokasi lain.
"DVS memaklumkan (kemasukan babi hidup) mematuhi semua syarat ketat, malah setakat ini, tidak ada pelanggaran apa-apa syarat," katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja meninjau projek tebatan banjir daerah Klang di Taman Seri Kerayong, Kapar di sini pada Rabu.
Terdahulu,Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin dalam kenyataannya memaklumkan, pengimportan ternakan babi hidup dari Sarawak ke Selangor telah diluluskan sejak Julai 2025 dengan syarat ketat.
Sinar Harian pada 20 Oktober lalu melaporkan,
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan kerajaan Selangor akan menyemak isu berkaitan kemasukan babi hidup dari negeri lain yang didakwa menggunakan negeri itu sebagaimana pintu masuk sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
Mengulas lanjut, Izham memberitahu, kebimbangan mengenai pencemaran perlu dibezakan daripada dakwaan berlakunya pencemaran, selain menjelaskan isu itu berbeza daripada aktiviti penternakan yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar.
Beliau berkata, Pelabuhan Klang turut menjadi pintu masuk pelbagai barangan untuk kegunaan negara dan bukan hanya bagi Selangor.
Jelas beliau, kemasukan haiwan seperti lembu dan kambing juga sudah lama berlaku melalui pelabuhan itu.
"Apa-apa pun dasar kerajaan negeri yang akan membuat keputusan mengenainya. Saya hanya membentangkan dapatan.
"Kalau ada keputusan negeri untuk tidak membenarkannya, perkara itu perlu dibincangkan," tambah beliau.



