
KLANG – Kemasukan babi hidup menerusi Pelabuhan Klang mematuhi semua syarat ditetapkan, termasuk penghantaran terus ke pusat penyembelihan tanpa singgah di lokasi lain.
Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan tiada pelanggaran syarat dalam urusan kemasukan ternakan berkenaan setakat ini.
Menurutnya, tidak timbul isu ketidakpatuhan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila baginda sebelum ini menegaskan berkenaan larangan menternak haiwan berkenaan di negeri ini.
“Yang penting, sebarang keputusan mesti mematuhi peraturan. Dari awal pun, masa kebenaran diberi untuk mereka bawa masuk, DVS mengesahkan pematuhan terhadap semua syarat ketat.
“Maksudnya, babi sampai terus tak boleh singgah di mana-mana, terus bawa ke pusat penyembelihan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada tinjauan projek tebatan banjir di sini, hari ini.
Izham turut menegaskan tiada kejadian pencemaran yang berpunca daripada kemasukan ternakan itu, sebaliknya perkara berkenaan hanya dibangkitkan sebagai kebimbangan terhadap risiko yang mungkin berlaku.
“Sebenarnya tak timbul, tiada kes yang jadi punca pencemaran. Cuma kebimbangan berlaku (pencemaran) di Pelabuhan Klang.
“Lagipun pelabuhan itu bukan untuk Selangor sahaja, tetapi negara. Bukan sahaja babi, semua benda dibawa masuk termasuk lembu dan kambing,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang perubahan dasar berkaitan kemasukan ternakan itu perlu dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu untuk pertimbangan.
” Jika ada, saya akan bentangkan. Tetapi setakat ini tiada pelanggaran sebarang syarat. Kalau keputusan negeri lain atau tak benarkan, itu kena dibincangkanlah.
“Belum ada perbincangan sebab kita tak lihat ada pelanggaran mana-mana syarat,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kerajaan negeri menyiasat kemasukan babi hidup dari Sarawak melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu bagi mengenal pasti destinasi sebenar ternakan itu sebelum menentukan tindakan susulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sebahagian ternakan berkenaan hanya transit di Selangor sebelum dihantar ke negeri lain. – KOSMO! ONLINE
The post Kemasukan babi hidup ke Selangor ikut semua syarat appeared first on Kosmo Online.






