Tiada peluang kedua buat Malaysia- Cheng Hoe

LocalFootball
8 Aug 2026 • 8:12 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada peluang kedua buat Malaysia- Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Tiada peluang kedua mahupun ruang untuk Harimau Malaya melakukan kesilapan menjelang aksi berdepan Filipina jika mahu merealisasikan impian mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2026.

Aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini bakal menjadi medan penentuan buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang berdepan situasi menang atau tersingkir lebih awal daripada kejohanan.

Kekalahan bukan sahaja akan menamatkan cabaran Malaysia, malah memadamkan harapan penyokong untuk melihat skuad negara melangkah ke peringkat kalah mati.

Menyedari betapa besarnya taruhan yang menanti, Cheng Hoe menegaskan anak buahnya sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan paling penting mereka dalam kejohanan setakat ini.

“Ini adalah perlawanan yang sangat penting dan begitu kritikal buat kami. Tetapi apa yang paling penting, saya tahu barisan pemain saya sudah bersedia dan kami sangat fokus untuk perlawanan terakhir dalam kumpulan ini.

“Seperti yang kita tahu, kami mesti memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri dan saya berharap pemain benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Sasaran pertama kami adalah fokus satu perlawanan demi satu perlawanan. Kami mahu pasukan ini mara ke separuh akhir kerana ia akan meningkatkan motivasi pasukan, penyokong dan negara,” katanya pada sidang media pra perlawanan, semalam.

Selain persiapan taktikal dan mental, Harimau Malaya dijangka menerima suntikan semangat luar biasa daripada puluhan ribu penyokong yang dijangka memenuhi setiap ruang tempat duduk stadium selepas tiket habis terjual.

Cheng Hoe menyifatkan kehadiran penyokong memenuhi stadium mampu menjadi senjata tambahan buat pasukan dalam mendepani tekanan tinggi sepanjang 90 minit perlawanan.

“Sudah tentu sebagai jurulatih atau pemain, kami mahu melihat suasana seperti ini. Suasana seperti ini benar-benar memberikan motivasi kepada kami, tambahan tenaga yang kita panggil sebagai pemain ke-12.

“Saya berharap pemain tidak terlalu merasakan tekanan. Tuntutan untuk perlawanan esok memang sangat tinggi tetapi fokus dari wisel pertama hingga wisel terakhir sangat penting.

“Kita perlu percaya dan yakin untuk turun ke padang dengan semangat berpasukan yang baik,” ujarnya.-UTUSAN

habis

KAPSYEN: Tan Cheng Hoe (kiri) bersama Wan Ahmad Kuzain Wan Ahmad Kamal pada sidang akhbar pra perlawanan Piala ASEAN 2026 antara Malaysia menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

The post Tiada peluang kedua buat Malaysia- Cheng Hoe appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved