
KUALA LUMPUR - Malaysia terus meningkatkan tekanan terhadap ahli kewangan buruan Low Taek Jho atau Jho Low susulan laporan beliau memohon pengampunan presiden daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berhubung pertuduhan jenayah berkaitan skandal 1MDB.
Perkembangan itu sekali lagi mengalih perhatian antarabangsa kepada antara skandal penipuan kewangan terbesar dunia, dengan kerajaan Malaysia menegaskan usaha perlu tertumpu kepada mengesan serta membawa pulang Jho Low untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau menolak sebarang usaha untuk memberikan pengampunan kepada ahli perniagaan terbabit.
“Setakat yang saya tahu, saya menentang pengampunan tersebut,” katanya menerusi mesej kepada REUTERS ketika diminta mengulas laporan mengenai permohonan pengampunan Jho Low.
Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, AS sepatutnya membantu Malaysia mengesan lokasi Jho Low bagi memudahkan siasatan lanjut berkaitan skandal berbilion dolar itu.
Beliau turut memaklumkan tidak mengetahui sebarang rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dan Jho Low, berhubung usaha memulangkan aset yang dikaitkan dengan kes berkenaan.
Kontroversi baharu itu tercetus susulan laporan The Wall Street Journal bahawa Jho Low baru-baru ini mengemukakan permohonan rasmi bagi mendapatkan pengampunan presiden yang, jika diluluskan, boleh menggugurkan pertuduhan jenayah terhadapnya di AS.
Menurut laporan berkenaan, seorang pegawai Rumah Putih memaklumkan, permohonan terbabit ketika ini tidak berada dalam pertimbangan aktif pentadbiran Trump.
Pangkalan data Jabatan Kehakiman AS turut dilaporkan menyenaraikan satu permohonan atas nama Taek Jho Low yang dikategorikan sebagai “Pardon after Completion of Sentence” dan difailkan awal tahun ini.
Jho Low kekal menjadi individu utama dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berdepan pelbagai dakwaan di Malaysia serta AS, termasuk rasuah, penipuan dan pengubahan wang haram.
Penyiasat mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diseleweng daripada dana pelaburan negara itu antara 2009 hingga 2015, menerusi rangkaian melibatkan pegawai dana dan sekutu yang dikaitkan dengannya.
Walaupun berdepan pelbagai tuduhan, Jho Low secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan masih bebas, dengan lokasi sebenar beliau terus menjadi misteri sehingga kini.
Skandal itu memberi kesan besar terhadap landskap politik dan kewangan Malaysia, termasuk menyumbang kepada kejatuhan pentadbiran Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2018 selepas memerintah berdekad lamanya.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menubuhkan 1MDB pada 2009, kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan dalam beberapa kes rasuah berkaitan skandal itu, manakala pasukan peguamnya berulang kali mendakwa Jho Low sebagai dalang utama penyelewengan berkenaan. - Getaran, 13 Mei 2026






