Tiada perbincangan turunkan harga RON95 - Rafizi

28 Jul 2023 • 2:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rafizi ketika sidang media pada Majlis Pengumuman Penemuan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 di Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengesahkan tiada sebarang perbincangan di peringkat kerajaan untuk menurunkan harga runcit bahan api RON95 dan diesel.

Menurutnya, desas desus penurunan harga RON95 itu baru pertama kali didengarinya.

"Sampai sekarang, saya tidak pernah dengar malah, tidak pernah ada perbincangan mengenainya," katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 di sini pada Jumaat.

Hakikatnya beliau berkata, harga minyak mentah dunia telah meningkat kepada AS$70 setong dan pernah mencecah sekitar AS$83 setong.

"Keputusan menurunkan harga bahan api ini sebenarnya di bawah Kementerian Kewangan kerana ia membabitkan peruntukan subsidi bahan api," jelas Rafizi.

Sebelum ini, MIDF Research menjangkakan kerajaan akan mempertimbangkan untuk menurunkan harga runcit RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan.