Kerajaan Terengganu sentiasa beri sokongan, bantu RXZ Members - penganjur

27/08/2025 - 12:31
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 27 Ogos – Kerajaan Terengganu sentiasa memberi sokongan terhadap penganjuran acara permotoran RXZ Members sejak dahulu lagi.
Penganjur program berkata, sokongan kerajaan negeri tetap ada sama ada melalui kewangan, kemudahan, khidmat nasihat, mahupun kerjasama secara tidak langsung.
“Kami sangat menghargai jasa baik ini kerana tanpa sokongan tersebut, sukar untuk acara ini menjadi program permotoran besar yang sentiasa dinanti saban tahun,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi RXZ Members-Official, semalam.
Baru-baru ini, penganjuran RXZ Members 7.0 dilanda kontroversi apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar tidak dijemput ke acara perasmiannya di Litar Gong Badak Kuala Nerus.
Kemudian, tular di media sosial kononnya kerajaan negeri Terengganu tidak pernah memberi bantuan terhadap penganjuran sukan permotoran itu.
Bagaimanapun, DagangNews.com difahamkan, kerajaan Terengganu pernah menyalurkan bantuan kewangan beberapa tahun lepas namun perincian jumlahnya masih belum didedahkan oleh mana-mana pimpinan negeri.
Dalam pada itu, penganjur RXZ Members berkata, acara permotoran itu adalah program Santai yang menjadi tumpuan ramai untuk berkumpul, berukhuwah dan mengeratkan silaturahim.
“Ia bukan medan politik, tetapi ruang untuk kita sama-sama meraikan minat dan hobi dengan penuh harmoni.
“Kami dari pihak penganjur, amat menghargai sokongan rakyat Terengganu yang sentiasa bersama RXZ Members sejak edisi pertama hingga kini.
“Doa dan semangat kalianlah yang menjadi kekuatan kami untuk terus menjayakan acara ini tahun demi tahun,” katanya.
Dalam penganjuran edisi ke tujuh tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk memeriahkan acara tersebut.- DagangNews.com
standard


