
KUALA LUMPUR - Tiada rombakan kabinet akan diumumkan susulan Mesyuarat Khas Kabinet yang akan diadakan esok.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat sebaliknya akan membincangkan nengenai keputusan mahkamah berhubung hak hasil negeri Sabah.
Menurut beliau, keputusan sama ada kerajaan akan membuat rayuan atau tidak akan diketahui selepas mesyuarat tersebut.
Bagaimanapun katanya, kerajaan akan mempertimbangkan nasihat Peguam Negara terlebih dahulu, sebelum memutuskan untuk memfailkan rayuan berkenaan.
“Fokus kita sekarang ialah memuktamadkan sama ada kita akan membuat rayuan atau tidak (terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai pemulangan 40 peratus hasil Sabah), dan seperti biasa, ini adalah negara yang berasaskan undang-undang.
“Ada prosesnya, jadi kita akan dengar dahulu keputusan (Peguam Negara) sebelum membuat penentuan. Saya sudah nyatakan pendirian saya, jadi kita akan muktamadkan esok selepas berbincang dengan Kabinet,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital Sabah hari ini.
Jelas Perdana Menteri, Kerajaan Madani lebih teguh dalam hal MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan melaksanakannya dengan lebih tegas bagi memastikan peruntukan untuk Sabah lebih terjamin.
“Saya sudah panggil mesyuarat esok. Kita akan dengar dahulu penjelasan Peguam Negara. Sama ada hendak rayu atau tidak tunggu esok. Bagi saya, tiada masalah jika tidak merayu, tetapi keputusan akhir akan dibuat selepas kita mendengar dan berbincang bersama semua anggota Kabinet,” katanya.
Beliau mengakui wujudnya kekangan dalam isu tersebut, namun menyeru semua pihak agar memahami keadaan.
“Mahkamah telah arahkan kita untuk berunding. Saya kata baik, kita akan berunding. Tapi hari ini, dengan siapa kita hendak berunding? Kerajaan sekarang hanyalah kerajaan sementara. Tunggu pilihan raya, dan selepas kerajaan baharu dibentuk, saya akan arahkan rundingan dimulakan segera,” ujarnya.
Bercakap mengenai pembangunan Sabah, Perdana Menteri menegaskan, RM17 bilion telah disalurkan kerajaan Persekutuan kepada negeri itu, walaupun hasil cukai tahunan Sabah hanya sekitar RM10 bilion, sekali gus menangkis dakwaan bahawa kerajaan mengambil hasil Sabah tanpa pulangan yang setimpal.
“Anak muda perlu tahu perkara ini; bukan untuk menimbulkan perbalahan antara kaum Murut, Kadazan, Bugis, Suluk dan lain-lain, tetapi untuk mengangkat martabat Sabah,” katanya.
Anwar turut mengumumkan beberapa penambahbaikan dalam perkhidmatan awam, termasuk penyelesaian isu doktor kontrak yang telah berlarutan lama melalui kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam, serta kenaikan elaun on-call pegawai perubatan sebanyak 40 peratus.
Turut diumumkan ialah pelarasan gaji dua peringkat bagi penjawat awam pada Disember 2024 dan Januari 2025, selepas 12 tahun tanpa kenaikan.
“Ramai bertanya mengapa begitu banyak diberikan kepada penjawat awam. Saya kata, dengar dulu. Sudah 12 tahun tiada kenaikan. Skim baharu ini lebih adil kerana jawatan peringkat rendah mendapat kenaikan lebih tinggi berbanding pegawai kanan,” katanya.
Berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk melaksanakan bayaran khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan, selepas perundingan dengan pemimpin kedua-dua negeri itu.
“Sebelum ini, Sabah dan Sarawak hanya menerima sekitar RM50 juta hingga RM150 juta setahun. Tetapi selepas rundingan dalam jawatankuasa yang saya pengerusikan bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, kita telah menaikkan jumlah itu kepada RM600 juta setahun sebagai bayaran khas interim.
“Sabah mempunyai potensi besar dan harapan tinggi terhadap kerajaan, namun ia perlu diurus dengan baik serta mengekalkan kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya. - Getaran, 10 November 2025
