“Tiada staf kelihatan” – Pejabat Syarikat Bas Terlibat Kemalangan Pelajar UPSI Ditutup

LocalPolitics
16 Jun 2025 • 3:13 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Syarikat bas terbabit dalam kemalangan maut di Gerik, Perak minggu lalu yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipercayai memberhentikan operasi buat sementara waktu.

Menurut laporan New Straits Times, premis syarikat tersebut yang terletak di Batu 6, Jalan Kuala Krai, itu ditutup dan tiada kakitangan kelihatan di pejabat utama tersebut.

Dalam laporan itu, hanya kelihatan sebuah bas yang diletakkan bersebelahan kediaman pemilik syarikat itu. Malah, cubaan pihak media untuk menghubungi pemilik syarikat itu juga tidak berjaya.

Difahamkan, petugas media tempatan melawat premis berkenaan untuk mendapatkan reaksi pemilik susulan kenyataan Kementerian Pengangkutan di mana tiada kegagalan brek ditemui dalam kemalangan itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata laporan teknikal awal oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengesahkan semua komponen brek bas tersebut berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, pemeriksaan juga mendapati tiada tanda-tanda tidak sekata atau penipisan pada kenderaan itu yang boleh menyumbang kepada nahas.

Sistem lain, seperti tayar, stereng, dan suspension juga telah diperiksa dan didapati mematuhi piawaian keselamatan.

 

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.