Tiada undang-undang baharu ganti AUKU

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 2:45 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada undang-undang baharu ganti AUKU

MELAKA: Tiada pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 atau digantikan dengan undang-undang baharu yang mengongkong kegiatan mahasiswa.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi menjamin kebebasan mahasiswa serta memastikan mereka tidak terus terikat dengan undang-undang khusus yang menyekat pergerakan dan kegiatan di kampus.

Beliau berkata, kebimbangan mengenai kemungkinan mahasiswa melakukan kesalahan selepas AUKU dimansuhkan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengekalkan akta berkenaan.

“Saya mahu umumkan sekarang, kita sudah setuju tentang pemansuhan AUKU. Saya hendak jelaskan bahawa saya tidak mahu pindaan, AUKU wajib dimansuhkan sepenuhnya.

“Ada kebimbangan apabila AUKU dibatalkan, undang-undang baharu akan diperkenalkan yang turut mengongkong atau menyekat.

“Saya tidak akan benarkan mana-mana peraturan atau undang-undang gantian yang mengongkong kegiatan mahasiswa,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, mahasiswa tetap tertakluk kepada undang-undang sedia ada sekiranya melakukan kesalahan termasuk mencederakan orang lain atau menipu dalam peperiksaan.

Katanya, undang-undang jenayah dan peraturan tatatertib sedia ada sudah memadai untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana mahasiswa yang melakukan kesalahan tanpa memerlukan akta khusus seperti AUKU.

“Saya tidak bermaksud untuk melonggarkan peraturan tatatertib atau undang-undang jenayah sedia ada, tetapi undang-undang khas bagi mahasiswa seperti AUKU tidak wajar diteruskan.

“Saya akan tegaskan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri bahawa saya tidak bersetuju dengan apa-apa pindaan atau akta penggantian yang mengekang kegiatan mahasiswa,” katanya. – UTUSAN

The post Tiada undang-undang baharu ganti AUKU appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved