
Polis mengesahkan pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak berpunca daripada perebutan kawasan perniagaan dan bukannya melibatkan unsur perkauman atau kongsi gelap.
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiada unsur perkauman atau samseng dalam kejadian rusuhan membabitkan sekumpulan individu di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud berkata kejadian itu disyaki berpunca daripada perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Tiada unsur perkauman dan penglibatan kongsi gelap dalam kejadian itu. Kita minta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung insiden itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini hari ini.
Mohd Rosdi berkata polis menahan sembilan individu termasuk seorang wanita berusia 16 hingga 44 tahun dan merampas pelbagai barangan disyaki berkaitan kejadian itu.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati dua daripada individu itu, berusia 32 dan 44 tahun ialah suspek utama kejadian itu.
Mohd Rosdi berkata semakan mendapati enam daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
Beliau berkata polis juga sedang mengesan kira-kira 15 lagi individu yang disyaki terbabit dalam kejadian tersebut.
“Kesemua suspek direman antara satu hingga tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus mengesahkan sembilan individu ditahan di sekitar lokasi pergaduhan membabitkan sekumpulan individu pada kira-kira 11 malam tadi.





![[VIDEO] Sembilan ditahan merusuh, berebut kawasan perniagaan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-02-at-11.01.15-1024x768.jpeg)
