Tiada unsur rasuah kes wanita China kecoh di KLIA - SPRM

8 Jul 2023 • 3:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suasana di balai ketibaan KLIA kecoh apabila seorang individu dipercayai menteri cuba membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.

SHAH ALAM - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah berhubung kes wanita warga China yang dihalang masuk ke negara ini oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati tidak berlaku sebarang pembayaran wang dibuat terhadap mana-mana individu atau pihak tertentu selepas pegawai JIM tidak membenarkan wanita terlibat memasuki Malaysia sehingga menimbulkan kekecohan di balai ketibaan KLIA.

Katanya, kekecohan berlaku akibat kekeliruan dan salah faham membabitkan pelancong itu dengan 'orang tengah' atau 'ejen' yang dihubungi sebaik wanita terbabit dikenakan tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) memasuki Malaysia.

"Wanita warga China yang terkandas itu dihubungi ejen menggunakan aplikasi WeChat bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

"Semakan di aplikasi Wechat mendapati ada menyatakan jumlah (wang) mengenai pembelian tiket pulang ke negara asal dan bayaran dikenakan oleh ejen.

"Masalah komunikasi antara kedua-dua pihak ini (wanita China dan ejen) menimbulkan salah faham kononnya berlaku rasuah di KLIA, namun siasatan lanjut masih diteruskan berhubung perkara ini," ujarnya pada Sabtu.

Katanya lagi, JIM boleh mengeluarkan notis NTL kepada mana-mana pelawat asing yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.

Menurutnya, pelawat asing yang dikenakan tindakan NTL akan ditempatkan di sebuah bilik yang mempunyai kelengkapan tempat duduk di lapangan terbang sebelum penghantaran pulang ke negara asal dilakukan.

Namun katanya, disebabkan terlalu banyak syarikat penerbangan di KLIA, Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) mengambil inisiatif melantik sebuah syarikat swasta bagi menguruskan pelawat NTL terbabit.

Jelasnya, syarikat swasta yang dipertanggungjawab akan bertanggungjawab menguruskan kebajikan pelawat NTL seperti menyediakan makan dan minum sementara menunggu penerbangan pulang ke negara asal tetapi tidak termasuk menguruskan tiket pulang.

Difahamkan katanya, atas inisiatif kakitangan syarikat menguruskan NTL, syarikat tersebut akan menawarkan pembelian tiket pulang kepada pelawat asing, namun perkara itu sering disalah erti dan beranggapan JIM yang mahu menerima wang rasuah.

Sebagai rekod tegasnya, pelancong yang tiba ke negara ini diberikan NTL atas pelbagai sebab termasuk faktor ketulenan pasport, isu visa, rekod jenayah dan kebimbangan mengenai isu keselamatan.

Sebelum ini, media melaporkan berlaku kekecohan di KLIA susulan penolakan kemasukan pelawat wanita dari China dikenali sebagai Wang Xu yang dilakukan mengikut prosedur dan selaras Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Bilangan 09 Tahun 2017.