Tiada visa, tiada haji

LocalTravel
11 May 2026 • 5:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiada visa, tiada haji
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun (tengah) menegaskan bahawa pemegang visa selain visa haji seperti visa lawatan, pelancongan, pekerjaan dan pelajar tidak dibenarkan memasuki kawasan Makkah terutama di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

MAKKAH – Tabung Haji (TH) mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak terpedaya dengan tawaran pakej haji menggunakan visa tidak sah kerana hanya individu yang memiliki visa haji dibenarkan berada di Tanah Haram dan menunaikan ibadah haji.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, menjelang Hari Wuquf yang dijangka berlangsung kurang dua minggu lagi, pasti ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan terhadap individu yang terdesak untuk menunaikan haji.

Menurutnya, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan peraturan tegas bahawa pemegang visa selain visa haji seperti visa lawatan, pelancongan, pekerjaan dan pelajar tidak dibenarkan memasuki kawasan Makkah terutama di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Sekiranya ditangkap dan didapati bersalah, hukuman mengikut lunas undang-undang pihak berkuasa Arab Saudi akan dikenakan.

“Tindakan ini juga boleh memberi kesan kepada hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi ketika ini.

“Jadi ingat, tiada visa, tiada haji,” katanya dalam sidang media di Hotel Abraj Al Tayseer di sini pada Isnin.

22,711 jemaah selamat tiba

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan setakat jam 10 pagi Isnin, seramai 22,711 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci menerusi 74 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, satu lagi penerbangan iaitu KT076 dijadualkan berlepas pada hari sama menuju Lapangan Terbang Raja Abdulaziz, Jeddah dan dijangka tiba pada sebelah malam.

Beliau berkata, kesemua jemaah Malaysia kini telah berada di Makkah selepas rombongan jemaah Muassasah terakhir dari Madinah iaitu KT033 tiba di Hotel Al Tayseer pada Sabtu lalu.

“Semua jemaah kini berkumpul di Makkah bagi menantikan kemuncak ibadah haji iaitu Hari Wuquf yang dijangka pada 26 Mei ini,” katanya.

Persiapan Masyair

Mengulas persiapan Masyair, Mohd Hisham berkata, persediaan di tapak perkhemahan hampir lengkap dan pihak pengurusan TH akan melakukan lawatan dalam masa terdekat bagi menyelaras persiapan akhir menjelang Hari Wuquf.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan jemaah supaya memberi keutamaan terhadap aspek kesihatan memandangkan cuaca dijangka semakin panas menjelang kemuncak haji.

Katanya, jemaah disaran minum air secukupnya, menggunakan payung ketika berada di luar bangunan penginapan semasa cuaca terik serta mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan risiko tekanan haba.

“Jemaah juga diingatkan supaya fokus kepada ibadah, menyimpan tenaga dan mengekalkan tahap kesihatan yang baik kerana misi utama adalah untuk berwuquf di Arafah.

“Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dalam riwayat Imam al-Tirmizi, ‘Al-Hajju ‘Arafah’ yang bermaksud ‘Haji itu adalah (wuquf di) Arafah’,” katanya.

Katanya, jemaah yang kurang berkemampuan berjalan jauh masih boleh menunaikan solat berjemaah di surau hotel atau masjid berhampiran penginapan tanpa perlu berulang-alik ke Masjidil Haram pada setiap waktu.

“Jangan terlalu memaksa diri melakukan umrah setiap hari atau berulang-alik terlalu kerap kerana ia boleh menyebabkan keletihan dan memberi kesan kepada kesihatan sebelum Wuquf,” katanya.

Berhati-hati dengan tawaran pakej ziarah luar

Beliau berkata, TH turut menasihatkan jemaah supaya berhati-hati terhadap tawaran pakej ziarah luar Tanah Haram yang ditawarkan pihak luar termasuk ke Jeddah dan Taif.

Menurutnya, pakej ziarah rasmi yang disediakan syarikat perkhidmatan berkaitan TH bersama syarikat pengendali tempatan hanya dijadualkan selepas selesai musim haji.

“Jemaah dinasihatkan merujuk terlebih dahulu kepada pihak TH sebelum menerima mana-mana tawaran pakej ziarah bagi mengelakkan kesulitan atau perlu membayar dam akibat melanggar tatacara manasik haji,” katanya.

Beliau berkata, jemaah juga dinasihatkan supaya tidak menyertai mana-mana perjalanan bersama pihak yang tidak diketahui latar belakangnya demi aspek keselamatan.

Sementara itu, beliau memaklumkan peluang untuk melaksanakan ibadah korban di Tanah Suci melalui TH masih dibuka menerusi sistem THiJARI sehingga 20 Mei ini.

Katanya, kadar yang ditetapkan ialah RM810 bagi seekor kibas.