
KEMESRAAN antara anak penerbit Datuk Eizlan Yusof, Zareef Yusof, 16, bersama keluarga usahawan terkenal Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Datin Seri Shahida Mohd Rashid bukan lagi rahsia.
Sering meluangkan masa bersama dan muncul dalam pelbagai content keluarga Terlajak Laris, hubungan mereka dilihat cukup akrab sehingga Zareef sendiri selesa memanggil Aliff sebagai ‘abah’.
Ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini, Zareef menyifatkan setiap kali berkunjung ke rumah usahawan berkenaan, dia berasa gembira dan dilayan seperti ahli keluarga sendiri.
"Sangat-sangat happy, sebab Baim sangat baik. Kalau setiap kali Zareef datang kan, dia selalu layan bagus.
"Kami akan swimming dengan Yusuf semua. Dia sangat-sangat bagus, memang best.
"Abah pula lebih extraordinary, memang semua ada karakteristik yang Zareef sangat suka. Sangat ceria dan beria setiap kali datang, jadi Zareef pun rasa happy," kongsinya.

Akui remaja berusia 16 tahun itu, dia berasa cukup selesa ibarat berada dalam keluarga sendiri.
"Saya mulakan panggilan (abah) itu selepas habis solat berjemaah.
"Selepas solat abah beri ceramah. Zareef rasa baiknya abah beri ceramah. Jadi Zareef ketika bersalam, saya pun panggil abah. Lebih selesa begitu," kongsinya.
Dalam pada itu, Aliff Syukri menjawab pertanyaan media mengenai hubungan bekas pelakon kanak-kanak itu dengan keluarganya.

Mendedahkan mereka berjiran dan sahabat anak ketiganya, Ibraheem Adham, Aliff Syukri begitu menyenangi kehadiran Zareef.
"Dia ni jiran saya, rumahnya di belakang ini sahaja. Dia tidak tidur di sini. Jarang-jarang datang, tapi kalau datang buat video (content).
"Ramai orang salah tafsir. Dia sebenarnya kawan Baem, baru 16 tahun. Dia pun belajar bagus. Ibu ayahnya tidak serumah, jadi saya anggap Zareef macam anak sendiri," kongsinya.
Sementara itu, Datin Seri Shahida menyifatkan anak kepada pelakon Datuk Eizlan Yusof dan usahawan terkenal, Vie Shanti Khan itu remaja yang baik serta merupakan rakan rapat anak-anak lelakinya.
"Kalau nak datang dia akan teks dulu. "Mama boleh tak Zareef datang?", saya pun balas "Datanglah."
"Kebetulan adik-beradiknya semua perempuan. Jadi dia hendak cari kawan lelaki, jadi Ammar Ahyan, Baem dan Yusof, itu kawan-kawan dialah," kongsinya

Diusik mengenai ciri-ciri calon menantu, Aliff mahu lelaki yang rajin bekerja dan sekufu.
"Saya sejujurnya jika memilih menantu, yang penting baik dan anak saya suka.
"Tidak kira latar belakang susah atau senang. Kalau orang kaya tapi malas bekerja saya tak hendak.
"Tapi kalau dia anak orang susah pun kalau jenis rajin, okay. Sebab bagi saya kaya tak semestinya bahagia.
"Bayangkan susah-susah, mereka pun bergaduh. Apatah lagi kalau seorang kaya, seorang lagi susah. Apabila gap terlalu banyak pun susah," ujarnya.
Sekadar info, Zareef merupakan anak hasil perkongsian hidup pelakon Datuk Eizlan dan Vie Shantie. Pasangan tersebut kemudiannya berpisah pada 2015.
Zareef juga memiliki kakak iaitu Vie Zaara dan adik perempuan, Vie Zalia.
