
PENERBITAN Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sekadar mengundang perdebatan tentang apa yang berlaku pada masa lalu.
Lebih penting daripada itu, laporan tersebut membuka ruang untuk negara menilai sama ada kerangka undang-undang yang mengawal selia TH masih memadai bagi menghadapi cabaran pengurusan institusi kewangan Islam yang semakin kompleks.
Perbincangan mengenai RCI tidak seharusnya hanya tertumpu persoalan siapa yang bersalah atau siapa yang perlu dipertanggungjawabkan.
Persoalan yang lebih besar ialah mengapa kelemahan tersebut boleh berlaku dan sama ada undang-undang sedia ada menyediakan mekanisme yang mencukupi untuk mengelakkannya daripada berulang.
Dalam konteks ini, sudah tiba masanya Akta Tabung Haji 1995 dikaji semula secara menyeluruh.
TH bukanlah sebuah institusi biasa. Sejak penubuhannya pada 1963, TH memainkan peranan penting membantu umat Islam menyimpan wang bagi menunaikan ibadah haji di samping mengurus pelaburan dana pendeposit secara patuh syariah.
Hari ini, TH mengurus simpanan jutaan pendeposit dengan aset bernilai puluhan bilion ringgit.
Kedudukan ini menjadikan TH antara institusi yang paling penting dalam ekosistem kewangan Islam negara.
Namun, saiz sesebuah institusi tidak semestinya menjamin kekuatan tadbir urusnya. Sejarah menunjukkan kelemahan tadbir urus lazimnya berpunca daripada struktur institusi yang tidak cukup kukuh, bukannya semata-mata disebabkan kelemahan individu.
Sebab itulah pembaharuan undang-undang menjadi lebih penting daripada sekadar pertukaran kepimpinan atau penambahbaikan dasar pentadbiran.
Ramai mungkin berpendapat prestasi kewangan TH kini semakin baik dan keyakinan masyarakat kembali pulih. Hakikat itu sememangnya wajar dihargai. Namun, prestasi yang baik pada hari ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan pembaharuan undang-undang.
Tadbir urus yang baik tidak boleh bergantung kepada siapa yang memegang jawatan pada sesuatu masa. Sebaliknya, ia perlu disokong oleh undang-undang yang mampu memastikan setiap pemegang amanah bertindak secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab tanpa mengira siapa yang mentadbir institusi tersebut.
Inilah pengajaran paling penting daripada RCI. Laporan tersebut bukan sekadar mengenal pasti kelemahan pengurusan, malah menunjukkan struktur tadbir urus sesebuah institusi perlu cukup kukuh untuk mengelakkan salah guna kuasa, konflik kepentingan dan keputusan yang tidak selaras dengan kepentingan pendeposit.
Pertama, tanggungjawab fidusiari anggota lembaga pengarah perlu diperincikan dengan lebih jelas. Mereka bukan sekadar mengurus sebuah badan berkanun, sebaliknya memegang amanah terhadap jutaan pendeposit. Oleh itu, akta perlu memperuntukkan secara jelas kewajipan bertindak dengan penuh integriti, mengutamakan kepentingan TH dan pendeposit, mengelakkan konflik kepentingan serta memastikan setiap keputusan pelaburan dibuat secara berhemat.
Kedua, proses pelantikan anggota lembaga pengarah perlu diperkasakan. Institusi yang mengurus dana awam dalam jumlah yang begitu besar memerlukan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan, pelaburan, syariah, undang-undang dan pengurusan risiko.
Pelantikan berasaskan merit bukan sahaja meningkatkan profesionalisme, malah mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadapkebebasan dan keupayaan lembaga membuat keputusan.
Ketiga, pembahagian kuasa antara menteri dan lembaga pengarah perlu diperjelaskan. Sebagai sebuah badan berkanun, TH sememangnya bertanggungjawab kepada kerajaan.
Namun demikian, sempadan antara kuasa dasar kerajaan dengan kuasa pengurusan institusi perlu ditentukan secara lebih jelas agar keputusan berkaitan pelaburan dan pengurusan dana dibuat berdasarkan pertimbangan profesional, bukannya dipengaruhi faktor-faktor lain yang boleh menjejaskan tadbir urus.
Keempat, perlindungan terhadap pendeposit perlu diberikan kedudukan yang lebih jelas dalam akta. TH diwujudkan hasil kepercayaan jutaan umat Islam yang menyimpan wang untuk tujuan ibadah haji dan pelaburan patuh syariah.
Oleh itu, setiap keputusan yang dibuat oleh institusi ini sewajarnya mengambil kira kepentingan pendeposit sebagai keutamaan, termasuk dalam aspek pengurusan risiko, ketelusan maklumatdan akauntabiliti terhadap penggunaan dana.
Kelima, tadbir urus syariah perlu diperkasakan melalui peruntukan undang-undang yang lebih komprehensif. Jawatankuasa syariah tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai badan yang mengesahkan pematuhan syariah terhadap sesuatu produk atau transaksi.
Sebaliknya, peranannya perlu diperluaskan sebagai sebahagian daripada sistem tadbir urus institusi yang merangkumi pengurusan risiko syariah, audit syariah, pemantauan berterusan dan pelaporan kepada pihak berkepentingan.

TADBIR URUS
Satu hakikat yang sering terlepas daripada perhatian umum ialah TH tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagaimana institusi perbankan Islam yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
TH ditubuhkan melalui undang-undang tersendiri sebagai sebuah badan berkanun yang mempunyai fungsi unik, iaitu mengurus simpanan umat Islam, melaburkan dana pendeposit serta mengendalikan urusan haji.
Keadaan ini menjadikan Akta Tabung Haji 1995 sebagai benteng utama yang menentukan kekuatan tadbir urus TH. Sekiranya terdapat kelompongan dalam akta tersebut, kelemahan itu tidak dapat diimbangi melalui pengawasan pengawal selia kewangan seperti yang berlaku dalam sektor perbankan Islam.
Dengan kata lain, bagi bank Islam, penyeliaan BNM menjadi lapisan perlindungan tambahan. Namun bagi TH, perlindungan utama terletak pada sejauh mana Akta Tabung Haji mampu mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang berkesan.
Justeru, piawaian tadbir urus yang terkandung dalam akta tersebut sewajarnya lebih kukuh, lebih jelas dan lebih menyeluruh.
Pembaharuan ini tidak seharusnya dilihat sebagai kritikan terhadap pengurusan TH pada masa kini. Sebaliknya, merupakan langkah memperkukuh institusi bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Prestasi kewangan yang baik hari ini adalah sesuatu yang membanggakan tetapi undang-undang perlu dibina untuk menghadapi kemungkinan yang lebih sukar pada masa akan datang, bukannya hanya sesuai ketika keadaan berjalan lancar.
Institusi yang berjaya belajar daripada pengalaman dan berani melakukan pembaharuan.
Laporan RCI memberi peluang tersebut kepada negara. Kini, tanggungjawab pembuat dasar ialah memastikan dapatan dan pengajaran daripada laporan itu diterjemahkan kepada pembaharuan undang-undang yang bersifat berkekalan.
Pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 bukan sekadar soal memperkemas peruntukan undang-undang. Ia merupakan usaha memperkukuh tadbir urus sebuah institusi yang menjadi amanah jutaan umat Islam.
Pada akhirnya, matlamat sebenar bukanlah untuk menghukum masa lalu tetapi membina sebuah institusi yang lebih telus, berakauntabiliti dan berdaya tahan demi menjaga kepentingan pendeposit serta memelihara keyakinan masyarakat untuk generasi akan datang. -UTUSAN
DR. Mohd. Izzat Amsyar Mohd. Arif ialah Pengerusi Pusat Kajian Undang-Undang Antarabangsa & Siyar, Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
The post Tiba masa Akta Tabung Haji dipinda appeared first on Utusan Malaysia.






