35 hingga 40 ahli Parlimen sedia bahas laporan RCI Tabung Haji

LocalPolitics
5 Aug 2026 • 3:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 35 hingga 40 ahli Parlimen sedia bahas laporan RCI Tabung Haji

PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 35 hingga 40 ahli Parlimen menyatakan kesediaan untuk membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) pada Sidang Khas Dewan Rakyat, 11 Ogos ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri juga telah dimaklumkan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bersetuju supaya sidang khas berkenaan diadakan secara berterusan tanpa waktu rehat.

“Pada ketika ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 35 ke 40 orang Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahas isu tersebut.

“Kita boleh ikuti nanti siaran secara langsung dalam semua saluran media rasmi sepanjang sidang khas Dewan Rakyat,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Pada 31 Julai lalu, media melaporkan Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan berlangsung pada 11 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi khas itu diadakan pada tarikh ber­kenaan selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Krisis kewangan TH yang bermula dengan isu ketidak­pada­nan aset dan liabiliti membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar, sebelum disusuli penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Selepas TH melalui proses penstabilan kewangan dan operasi, kelmarin Jemaah Menteri bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI kepada umum, selain memutuskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa diteruskan berdasarkan dapatan berkenaan.

Laporan itu menggariskan 25 syor penambahbaikan dengan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripadanya manakala agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan institusi itu kini berada dalam keadaan lebih baik. – UTUSAN

The post 35 hingga 40 ahli Parlimen sedia bahas laporan RCI Tabung Haji appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved