
Duit Masuk RM320K Dalam Akaun KWSP, Tapi Siapa Bank In?
Tiba-Tiba Duit Banyak Dalam KWSP, Pesara Terkejut Akaun KWSP Bertambah RM320K. Seorang pesara di Malaysia baru-baru ini berdepan satu kejadian yang cukup mengejutkan apabila mendapati simpanan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beliau bertambah lebih RM320,000 secara misteri.
Perkara ini bukan sahaja mengejutkan beliau, malah turut menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan netizen — adakah ini sekadar gangguan teknikal atau petanda kepada isu sistem yang lebih serius?

Disangka ‘glitch’, rupanya kekal lebih dua hari
Menurut laporan See Hua Daily News pada 20 Mac, pesara terbabit mula menyedari perkara tersebut ketika memeriksa baki akaunnya menerusi aplikasi mudah alih KWSP.
Pada awalnya, beliau menyangka jumlah yang bertambah itu hanyalah kesan daripada gangguan sistem atau kemas kini sementara. Namun begitu, selepas dua hari, baki akaun tersebut masih menunjukkan jumlah tambahan yang sama.
“Kalau sistem boleh masukkan duit secara salah, ia juga mungkin boleh tarik balik duit saya tanpa amaran,” katanya kepada wartawan.
Disebabkan bimbang dengan apa yang berlaku, beliau mengambil tangkapan skrin sebagai bukti dan terus menghubungi pihak KWSP untuk mendapatkan penjelasan.
Penyata rasmi tiada sebarang perubahan
Apa yang lebih mengelirukan, penyata rasmi KWSP beliau langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan — jumlah sebenar simpanan kekal seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Beliau kemudiannya hadir ke cawangan KWSP untuk membuat semakan lanjut. Menurut kakitangan KWSP, tiada yang perlu dirisaukan selagi penyata rasmi kekal tidak berubah.
Namun begitu, pesara berkenaan tetap merasa tidak tenang — apatah lagi apabila mengetahui rakan beliau turut mengalami kejadian yang hampir sama.
Rakan alami situasi sama, tapi duit ‘hilang’ semula
Difahamkan, seorang rakan kepada pesara tersebut mendapati simpanan KWSP miliknya meningkat sebanyak RM150,000 pada waktu pagi, namun apabila diperiksa semula sekitar jam 10 pagi, jumlah itu telah kembali kepada asal.
Perkara ini menguatkan lagi rasa curiga bahawa mungkin wujud gangguan teknikal, ujian sistem dalaman, atau isu penyelarasan data antara aplikasi mudah alih dan pelayan utama KWSP.
Tiada kenyataan rasmi dari KWSP setakat ini
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak KWSP berhubung kejadian tersebut.
Meskipun insiden ini mungkin hanya gangguan teknikal, namun ia tetap menimbulkan persoalan tentang keselamatan sistem dan kepercayaan pengguna terhadap pengurusan data KWSP.
Semoga pihak berkaitan tampil memberikan penjelasan tidak lama lagi bagi meredakan kebimbangan orang ramai.
Baca juga artikel yang pernah kami terbitkan mengenai KWSP:






