“Tiba-tiba hilang” – Atlet Serbia Meninggal Dunia Dalam Acara CrossFit Di Texas

Entertainment
9 Aug 2024 • 12:57 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Semalam, tular sebuah video di media sosial yang memaparkan seorang atlet CrossFit lemas ketika hampir ke garisan penamat.

Atlet tersebut merupakan atlet dari Serbia yang berusia 28 tahun dikenali sebagai Lazar Dukic, dia dilihat tiba-tiba hilang di Marine Creek Lake, Fort Worth, Texas.

Panggilan kecemasan dikeluarkan sekitar jam 8 pagi apabila Lazar sedang berenang bersama sekumpulan pesaing lain, tiba-tiba hilang berhampiran garisan penamat.

“Kami akan melakukan apa yang termampu dalam masa yang tragis ini untuk menyokong keluarga, untuk menyokong komuniti kami. Kami bekerjasama dan bekerja rapat dengan pihak berkuasa dalam siasatan susulan,” kata Don Faul, Ketua Pegawai Eksekutif CrossFit.

Difahamkan, mayat Lazar ditemui kira-kira sejam selepas penyelam penyelamat pertama memasuki air, dan pihak polis mengesahkan atlet itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut laporan Fox News, Lazar mengambil bahagian dalam acara renang dan larian, yang merangkumi larian 5km diikuti dengan renang 800 meter.

Lazar Dukic merupakan atlet sukan CrossFit selama empat tahun dan merupakan pemenang Separuh Akhir Eropah 2024.

Beliau juga merupakan atlet individu pertama memenangi tiga separuh akhir berturut-turut dan menduduki tempat ke-88 di seluruh dunia dalam kategori lelaki, ke-33 di Eropah dan ketiga di Serbia.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.