
Pelakon popular Hong Kong, Jackie Chan tidak terkecuali berdepan dengan situasi yang tidak diingini ketika melakonkan aksi lagak ngeri.
Jackie, 70, berkata, dia pernah pengsan ketika menjalani penggambaran filem Panda Plan dimana pada waktu itu dia sedang melakukan aksi lagak ngeri. Ketika itu, wajah Jackie kelihatan kosong dan seperti tidak menyedari apa yang sedang berlaku.
"Tiba-tiba saya berasa lemah dan nak rebah. Kemudian kru terus berlari kearah saya untuk memastikan saya selamat.
"Saya seperti tidak sedar dan bertanya pada mereka 'Apa dah jadi?'... Apabila diberitahu saya pengsan, rasa macam tak percaya pula dan menganggap mungkin ia berlaku kerana saya menahan nafas ketika melakukan aksi itu," katanya.
Tak mahu pelakon pengganti
Seperti yang dijangkakan, Jackie berkeras menyatakan dia dalam keadaan baik tetapi memerlukan bantuan untuk bangun. Kemudian selepas berehat seketika, mereka kembali menjalani penggambaran adegan yang sama.
“Ia bukan masalah besar, saya perlu meyakinkan semua orang bahawa saya baik-baik saja. Jika tidak, mereka akan menggunakan pelagak ngeri menggantikan saya.
"Jika saya hanya duduk di tepi sambal melihat pihak produksi menggunakan pelagak ngeri, saya akan berasa sangat bersalah!" tambahnya.



