“Tidak berfikir waras” – Lelaki Didakwa Jadi Punca Kemalangan Penunggang Ducati Mengaku Sakit Mental

10 Jul 2023 • 4:21 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Bulan lepas, tular sebuah video kemalangan yang amat mengerikan di mana seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas bertembung dengan satu lagi penunggang motor yang menunggang berlawan arah.

Hari ini, seorang lelaki yang didakwa menjadi punca kemalangan itu didakwa di Mahkamah Majistret, bagaimanapun lelaki berkenaan mengaku dirinya orang kelainan upaya (OKU) dan menerima rawatan sebagai pesakit mental.

image is not available

Menurut laporan Astro AWANI, ketika prosiding di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail berkata, anak guamnya, Mudzyadaha Mohammad telah menerima surat rujukan daripada doktor semasa ditahan di sebuah hospital di Kajang malah mendapat ubat untuk rawatan psikiatri.

“Semasa kejadian, anak guam tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran, jadi saya mohon agar mahkamah membenarkan dia menjalani ujian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, majistret mengarahkan tertuduh menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Sebagai info, kesalahan didakwa dilakukan di kilometer 22.2 Lebuhraya Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) kira-kira jam 1.10 petang pada 14 Jun lalu.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.