
Hangat di media sosial minggu ini susulan laporan mengenai seorang individu yang mendakwa keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya sedang dalam pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bukan itu saja, seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang dikatakan turut aktif mempromosikan individu terbabit, didakwa mengutip dana awam secara tidak sah.
Artikel berkaitan: Didakwa Beli Tanah Di Melaka Untuk Bina ‘Kerajaan 9’, Polis Sedang Pantau Mawla Amin & Pengikut
Artikel berkaitan: “Kena tahan lapar, tidur dalam tandas” – JAIS Siasat Sekolah Tahfiz Didakwa Dera Pelajar
Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghalang apa jua aktiviti membabitkan Mawla Mohamed Amin al-Hassani.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, madrasah itu disyaki sebagai hos kepada Mawla Amin sepanjang berada di Selangor, tahun lalu.

Mengenai dakwaan individu itu adalah cicit Nabi Muhammad SAW, pihaknya tidak mendapat sebarang fakta jelas atau keterangan tentang susur galur yang boleh menyokong dan membuktikan dakwaan terbabit.
“Sepanjang 2023, Jais menghalang penganjuran apa-apa bentuk aktiviti membabitkan individu terbabit di Selangor.
“Jais tidak berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan perkara yang mendatangkan keraguan sehingga menjadi fitnah kepada Islam keseluruhannya.
“Kami menyeru semua umat Islam di Selangor lebih berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan perkara meragukan seumpama ini,” katanya.
RAM nafi ada kaitan dengan Mawla Amin
Sementara itu, Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia (RAM) menegaskan tiada sebarang hubungan dengan Mawla Amin.
Pihaknya menjelaskan tidak pernah terbabit sama sekali di dalam menjemput, menganjur dan melaksanakan apa juga bentuk aktiviti atau program dijalankan individu terbabit atau orang dikaitkan dengannya.
“Jabatan Hal Ehwal Nasab RAM tidak pernah menerima apa-apa permohonan perakuan nasab daripada individu terbabit (Mawla Amin) dan jabatan ini tidak pernah terbabit dalam memperakukan apa-apa nasab keturunan individu berkenaan,” katanya.
RAM menegaskan mereka tidak sewenang-wenangnya menjalankan aktiviti dengan mana-mana pihak tanpa membuat semakan teliti terhadap individu terbabit serta mendapat kebenaran agensi berkaitan.
Sumber: Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


