
KEKEJAMAN komunis yang meragut keamanan dan mengancam kehidupan masyarakat Orang Asli menjadi teras filem Orang Perang, sebuah naskhah yang mengangkat pengorbanan komuniti berkenaan ketika Tanah Melayu dilanda konflik pada era 1950-an.
Diinspirasikan daripada kisah benar kaum Semai, filem arahan Hashim Rejab tersebut menampilkan penderitaan penduduk pedalaman yang berdepan keganasan, selain perjuangan Senoi Praaq mempertahankan tanah air.
Dalam menggambarkan ancaman tersebut, lakonan Ammar Alfian sebagai Bah Pelangkin menjadi antara kekuatan filem apabila karakter antagonisnya berjaya dihidupkan dengan sifat bengis dan sangat kejam.
Ammar yang cukup popular dengan watak jahat bersyukur kerana ‘dibenci’ oleh penonton meskipun berdepan pelbagai cabaran berkampung di dalam hutan sepanjang penggambaran.
“Saya tidak kisah jika memang dikenali sebagai pelakon watak antagonis, dibenci penonton, makna lakonan saya menjadi.
“Cuma dalam filem Orang Perang kekejamannya memang agak ekstrem dan perkara ini memang benar-benar berlaku.
“Filem ini juga sebuah karya aksi, kecederaan itu normal. Saya cedera pada bahagian mata, tetapi pelakon lain juga alami kecederaan demi menjayakan watak masing-masing, “ tutur Ammar.
Sisi kejam wataknya turut diperlihatkan menerusi babak penderaan seksual terhadap Bah Sidap lakonan Fadhli Masoot. Fadhli sebelum ini mengakui berfikir panjang untuk menjayakan babak sensitif tersebut kerana pada awalnya, adegan berkenaan tidak terdapat dalam skrip, Selain itu dia juga bimbang gambaran berkenaan memberikan tanggapan buruk terhadap masyarakat Orang Asli.
“Selepas berbincang dengan Ammar, kami meneruskan babak tersebut dengan teknik kamera. Saya berharap penonton melihat mesej dan pengajaran di sebalik babak tersebut,” ujar Fadhli.

Tiada babak dipotong
Sementara itu, Niezam Zaidi sebagai Bah Tangga, watak hero dalam filem berkenaan menyifatkan Orang Perang sebagai sebuah berbeza dan menyeronokkan sepanjang penggambaran.
“Semua pelakon dalam filem ini adalah kawan saya, jadi rasa bertuah kerana dapat terlibat dalam sebuah karya sejarah.
“Memang bukan mudah sebab penggambaran dalam hutan ditambah kami berdialog dalam bahasa Semai,” tutur Niezam yang menjalani latihan aksi selama dua minggu sebelum penggambaran.
Di sebalik usaha mengetengahkan kisah perjuangan, pengarah Hashim Rejab turut berdepan dengan keputusan Lembaga Penapis Filem (LPF) yang memberikan klasifikasi 18 kepada Orang Perang, sekali gus mengehadkan tontonan kepada golongan dewasa.
Keputusan tersebut membataskan hasratnya supaya kisah berunsur kenegaraan tersebut turut dapat diikuti penonton lebih muda, khususnya remaja berusia 15 atau 16 tahun dengan pengawasan ibu bapa atau penjaga.
Menurut Hashim, pihak produksi sudah mengemukakan surat dan e-mel untuk mendapatkan rundingan berhubung klasifikasi berkenaan, namun usaha tidak diterima LPF.
“Kita sudah minta rundingan tapi pihak LPF tidak terima,” katanya.
Bagaimanapun, Hashim tetap menghargai keputusan LPF meluluskan filem tersebut tanpa sebarang potongan babak, meskipun klasifikasi 18 kekal menjadi batas kepada penonton yang boleh masuk panggung.
Dari sudut pembikinan pula, Hashim mengakui cabaran besar adalah membina suasana Tanah Melayu era 1950-an dengan kekangan bajet, masa dan lokasi penggambaran di hutan.
“Paling penting, saya mahu penonton melihat sisi perjuangan masyarakat Orang Asli yang selama ini mungkin kurang diketengahkan,” katanya.
Hashim berharap penonton yang menyaksikan Orang Perang dapat lebih menghargai pengorbanan masyarakat berkenaan serta memahami nilai keamanan yang dinikmati hari ini.
Untuk menghidupkan latar zaman tersebut, produksi berkampung di beberapa lokasi, termasuk di Perdik Fall di Ulu Langat, Bukit Tunku dan Kem Asia di Semenyih, dengan perhatian turut diberikan kepada kostum, set serta pergerakan pelakon.
Diterbitkan 3Line Media Sdn. Bhd. bersama Nanord Studio Production, Orang Perang yang ditayangkan sejak 1 Oktober lalu turut menampilkan Syazwan Zulkifly, Adam Corrie, Hairi Safwan, Azhan Rani, Fauzi Nawawi, Nam Ron, Vanidah Imran dan Pui Yi.
The post ‘Tidak kisah bawa watak antagonis, dibenci penonton’ appeared first on Kosmo Online.






