Marhaban merujuk kepada satu bentuk bacaan selawat, doa, dan puji-pujian terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ia lazimnya dilakukan secara berkumpulan, terutamanya dalam majlis-majlis keraian seperti sambutan kelahiran, kenduri doa selamat, atau semasa menyambut ketibaan bulan Syawal.
Di Johor, marhaban turut menjadi satu tradisi istimewa yang diamalkan dari rumah ke rumah semasa musim perayaan, diiringi dengan kunjungan hormat serta jamuan ringan.
Aktiviti ini bukan sekadar amalan keagamaan, bahkan menjadi medium untuk mengukuhkan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung. Ia dilaksanakan dalam suasana penuh adab, tertib, dan harmoni yang mencerminkan nilai-nilai murni masyarakat.
Namun begitu, perubahan gaya hidup masyarakat masa kini telah memberi kesan besar terhadap kesinambungan tradisi ini.
Meskipun ada pandangan bahawa aktiviti ini semakin dilupakan, masih wujud generasi muda yang berusaha menghidupkannya semula.
Masih kekalkan tradisi
Menurut Nur Eradah Ishak, aktiviti marhaban di kawasan perumahannya di Taman Soga, Batu Pahat masih mengekalkan tradisi tersebut. Aktiviti ini biasanya dimulakan pada 1 Syawal, melibatkan kumpulan marhaban lelaki dan wanita, di mana kumpulan lelaki akan memulakan acara terlebih dahulu.
Katanya, sekumpulan jemaah yang terdiri daripada ahli kariah masjid atau Ahli Jawatankuasa (AJK) penduduk setempat akan berkunjung dari satu rumah ke rumah yang lain untuk berselawat dan mendoakan kesejahteraan penghuni rumah tersebut.
Kumpulan marhaban ini akan menyusun jadual ziarah secara bergilir mengikut lorong atau kawasan kampung. Sebelum aktiviti bermula, surat akan diedarkan dari rumah ke rumah.
“Siapa yang nak sertai aktiviti ini, isi borang tu dan hantar kepada AJK yang bertugas atau masukkan dalam kumpulan WhatsApp taman perumahan,” katanya.
Faktor-faktor penyebab tradisi Marhaban semakin dilupakan
Bercerita lanjut, Nur Eradah menyatakan bahawa tradisi marhaban ini dilihat semakin dilupakan dari tahun ke tahun. Salah satu faktornya ialah ramai ahli kumpulan marhaban terdahulu telah meninggal dunia, dan rumah peninggalan mereka hanya dihuni pada Hari Raya sahaja.
Selain itu, kekangan masa bekerja dalam kalangan golongan muda, gaya hidup moden yang semakin menjarakkan hubungan kejiranan, serta kurangnya pendedahan terhadap nilai-nilai warisan turut menjadi antara faktor yang menyebabkan amalan ini semakin terpinggir dalam kalangan masyarakat.
Kesimpulannya, tradisi marhaban bukan sekadar warisan budaya, malah mencerminkan kekuatan ukhuwah dan nilai keagamaan yang luhur dalam masyarakat Melayu Islam. Usaha generasi kini dalam menghidupkan kembali amalan ini wajar dihargai dan diteruskan.
The post Tidak luput dek zaman, tradisi Marhaban kekal diwarisi di negeri Johor appeared first on The Reporter.
