
Bukan hendak mencari gaduh, jauh sekali mahu membesarkan perkara kecil, tetapi ada segelintir artis yang rasanya perlu diingatkan supaya jangan terlalu cepat lupa diri apabila berdepan dengan pihak media.
Kalau benar tidak mahu ditemu ramah, bukankah lebih manis kalau ditolak dengan cara yang baik? Cakap sahaja, “Maaf, saya tidak dapat ditemu ramah sekarang,” atau minta pihak pengurusan menyampaikan penolakan tersebut. Mudah, bukan?
Apa yang kurang enak apabila seseorang datang dengan niat mahu menjalankan tugas, kemudian dilayan dengan pandangan atas bawah, sebelum si artis berlagak sibuk berbual dengan pengurus dan akhirnya berlalu begitu sahaja.
Lebih-lebih lagi kalau soalan yang mahu ditanyakan bukanlah perkara peribadi, kontroversi atau cerita yang boleh menjatuhkan air muka sesiapa. Soalannya berkaitan industri filem, bidang yang sememangnya diceburi oleh si artis. Jadi, apa yang hendak dikeraskan sangat?
Jangan pula baru muncul dalam beberapa buah karya, kemudian mula membawa diri seolah-olah sudah menduduki takhta paling tinggi dalam industri.
Trofi di rumah memang boleh menjadi kebanggaan. Tetapi satu pengiktirafan tidak bermakna seseorang itu sudah boleh memandang rendah kepada semua orang di sekeliling.
Dalam dunia hiburan, populariti pula bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Hari ini orang bercakap tentang kita, esok lusa mungkin orang lain pula yang menjadi perhatian. Begitulah lumrah industri.
Sebab itu, tidak perlulah terlalu sibuk hendak membuktikan diri setaraf dengan sesiapa. Kalau ada bakat, biarkan karya yang bercakap. Kalau ada pencapaian, biarkan orang lain yang mengiktiraf.
Jadi, siapa artis yang Cik Bunga maksud ini? Warganet tekalah dahulu…
The post Tidak mahu ditemu bual boleh tolak secara berhemah appeared first on Utusan Malaysia.



