Tidak mahu terus dikait skandal hartanah, Mara tekad pastikan tadbir urus teratur: Asyraf Wajdi

LocalPolitics
6 Jun 2025 • 6:08 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak mahu lagi terpalit dengan bayangan skandal lama, terutama berkaitan isu hartanah yang pernah menggoncang reputasi institusi itu beberapa tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, keutamaannya sejak hari pertama memegang jawatan adalah memastikan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab dan teratur bagi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap Mara.

image is not available
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) ketika menjadi tetamu dalam, podcast Trick Lama oleh PoDaBoom, baru-baru ini yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa (dua kanan); Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) (kanan) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez (kiri). – Gambar Scoop, 6 Jun, 2025

“Ramai orang masih kaitkan Mara dengan skandal hartanah terdahulu, walaupun ia tiada kena mengena langsung dengan kebanyakan kakitangan kita hari ini.

“Tapi legasi negatif itu kita warisi, dan jadi tanggungjawab kita untuk pastikan ia tidak berulang,” katanya ketika menjadi tetamu episod terbaharu Trick Lama oleh PoDaBoom, podcast terbitan Big Boom Media yang turut menerbitkan Scoop, baru-baru ini.

Ia diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez.

Beliau berkata, skandal lama sering dijadikan alasan untuk menyalahkan ahli politik, walhal kebanyakan kes melibatkan kelemahan sistem dan pengurusan dalaman.

“Soalnya, adakah kita mahu melihat skandal sama kembali berlaku pada masa depan? Kerana itu kita harus pastikan semua tata kelola berjalan dan berfungsi dengan teratur.

“Sebab banyak pihak menyalahkan ahli politik, walaupun hakikatnya skandal yang berlaku tiada kena mengena dengan mana-mana ahli politik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tiada ruang untuk berulangnya kelemahan pengurusan atau salah guna kuasa jika nilai-nilai integriti dan akauntabiliti benar-benar dihayati dan dilaksanakan di setiap peringkat organisasi.

“Kita ada 18,000 kakitangan. Mereka tahu kenapa mereka berada di Mara. Nilai dan tujuan penubuhan institusi ini perlu terus dijaga dan dipertahankan,” katanya.

Asyraf turut menjelaskan bahawa beliau tidak mengambil pendekatan populis atau mencari populariti peribadi sepanjang tempoh perkhidmatannya, sebaliknya mahu memastikan agenda besar Mara diteruskan dengan penuh amanah.

“Adakah saya berhadapan cabaran dalam menerajui Mara? Ya, memang ada cabaran, tapi bila dibuat libat urus ia memudahkan dan mereka tahu kita melakukan perkara yang betul.

‘Sebab itu saya tidak tukar kenderaan, buat ubahsuai atau meminta bajet tambahan atau peruntukan khas untuk diri saya sebagai pengerusi,” katanya.

Menurut beliau, libat urus menyeluruh dengan semua peringkat dalam Mara, termasuk kakitangan di lapangan, adalah kunci kejayaan dalam pelaksanaan perubahan dan pembaharuan.

“Kalau kita mahu nilai-nilai baik diterapkan, kita kena jadi contoh. Kita kena buat semua orang dalam organisasi rasa selesa dan faham kenapa perubahan itu penting,” katanya.

Dalam usaha mengembalikan reputasi Mara sebagai institusi amanah rakyat, Asyraf berkata, pelbagai program sedia ada hanya perlu diperhalusi, bukan dirombak sepenuhnya.

“Saya tak buat benda baharu sangat pun. Program sudah ada, tapi kita gariskan semula keutamaan supaya ia betul-betul capai misi Mara. Ini bukan duit saya, ini duit rakyat. Kita semua ada amanah besar,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, tumpuan Mara akan terus diberikan kepada dua teras utama — pendidikan dan keusahawanan Bumiputera.

“Pendidikan akan terus menjadi perniagaan utama Mara, tetapi dengan penekanan kepada acuan generasi masa depan yang kompeten, berakhlak dan berdaya saing global.

“Kita mula jadi lebih selektif. Kita nak lahirkan pelajar yang bukan sahaja masuk universiti, tapi masuk universiti terbaik — termasuk Ivy League. Kita bentuk mereka dari sekarang,” katanya.

Dalam bidang keusahawanan pula, Mara membentangkan semula strategi berdasarkan prinsip 3P — penyertaan, pemilikan dan penguasaan — sebagai langkah untuk mengukuhkan pegangan Bumiputera dalam ekonomi negara. - 6 Jun, 2025