Tidak minat sejarah bukan bererti tak patriotik

LocalOpinion
30 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tidak minat sejarah bukan bererti tak patriotik

GENERASI Z atau Gen Z membesar dalam dunia yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu khususnya dengan pengaruh teknologi, media sosial dan budaya global yang begitu dekat dengan kehidupan seharian.

Perubahan itu turut mempengaruhi cara golongan muda memahami erti kemerdekaan dan patriotisme, yang tidak lagi semestinya dizahirkan melalui pendekatan konvensional semata-mata.

Begitupun, perubahan pemahaman patriotisme itu tidak semestinya bermakna kecintaan terhadap negara semakin luntur, sebaliknya mungkin diterjemahkan melalui cara fikir yang berbeza.

Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Nursyasya Nadhirah Zabidi dan jurufoto, Puqtra Hairry Rosli bersama Pengarah Pusat Kesenian dan Warisan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Shahzool Hazimin Azizam bagi mengupas makna kemerdekaan, patriotisme dan pembentukan jati diri Gen Z.

Kosmo! Ahad: Adakah Gen Z hari ini benar-benar memahami erti kemerdekaan atau bagi sebahagian mereka ia sekadar sambutan pada 31 Ogos, kibaran Jalur Gemilang dan cuti umum?
Shahzool Hazimin: Saya melihat Gen Z sebenarnya memahami erti kemerdekaan, cuma cara mereka menzahirkannya mungkin berbeza daripada ge­nerasi terdahulu.

Bagi generasi sebelumnya, kemerdekaan mungkin lebih dekat dengan pengalaman sejarah, perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan, Jalur Gemilang, perbarisan dan sambutan 31 Ogos.

Namun bagi Gen Z, mereka lebih cenderung bertanya, ‘Apa makna merdeka kepada kehidupan saya hari ini?’ Pada saya, itu bukan tanda mereka hilang arah. Sebaliknya mereka mahu memahami sebab dan konteks di sebalik sesuatu nilai, bukan sekadar menerima arahan.

Bagi Gen Z, kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi bagaimana mereka menggunakan kebebasan dimiliki untuk berfikir secara kritikal, membezakan fakta dan manipulasi digital, menjaga keharmonian masyarakat, bersuara secara bertanggungjawab dan menyumbang kepada negara.

Jadi, 31 Ogos dan kibaran Jalur Gemilang tetap penting sebagai simbol dan perlambangan, tetapi makna kemerdekaan itu perlu diterjemahkan ke dalam kehidupan seharian supaya ia tidak berhenti sebagai hanya satu sambutan tahunan semata-mata.

Sebagai pegawai universiti yang dihuni ramai anak muda, bagaimana tahap semangat patriotisme mahasiswa hari ini berban­ding generasi terdahulu?
Saya tidak melihat semangat patriotisme mahasiswa hari ini sebagai semakin lemah. Saya melihat bentuk patriotisme itu sedang berubah.

Kita tidak boleh mengukur patriotisme Gen Z hanya berdasarkan sejauh mana mereka mengikut bentuk patriotisme generasi terdahulu. Mereka hidup dalam persekitaran yang jauh lebih digital, global dan terdedah kepada pelbagai per­spektif.

Gen Z mungkin tidak sentiasa menunjukkan patriotisme melalui simbol atau aktiviti konvensional, tetapi mereka menunjukkan kecintaan kepada negara melalui cara mereka menyelesaikan masalah, memperjuangkan isu yang mereka percaya, menggunakan teknologi, menjaga komuniti dan membina masa depan.

Jadi, cabarannya bukan untuk memaksa Gen Z menjadi seperti generasi terdahulu. Cabarannya adalah memberikan mereka kefahaman, ruang berdialog dan peluang untuk menterjemahkan nilai kemerdekaan dalam bahasa generasi mereka sendiri.

Bayangkan impak satu patriotisme yang menjadi tular de­ngan perkongsian media sosial.  Jika dahulu kita bergantung kepada video-video pendek syarikat melalui tayangan di te­levisyen sahaja, namun sekarang setiap daripada Gen Z ini mampu menjadi ejen-ejen patriotisme melalui media sosial masing-masing.

Keberkesanannya juga boleh diukur segera melalui jumlah like (tanda suka) sebagai contoh.

Ada pandangan mengatakan anak muda hari ini lebih terdedah kepada budaya dan pengaruh global sehingga identiti kebangsaan semakin terhakis. Sejauh mana anda bersetuju dengan kebimba­ngan itu?
Saya memahami kebimba­ngan itu, tetapi tidak sepenuh­nya bersetuju bahawa keterdedahan kepada budaya global secara automatik menyebabkan identiti kebangsaan terhakis.

Gen Z sememangnya generasi yang sangat terdedah kepada dunia global. Mereka boleh meng­akses budaya, pemikiran dan maklumat dari seluruh dunia hanya melalui telefon dan peranti pintar.

Bagaimanapun, mempunyai perspektif global tidak bermaksud mereka telah mengorbankan identiti kebangsaan. Bagi saya, apa lebih pen­ting adalah membina jati diri yang kukuh. Anak muda perlu tahu siapa diri mereka, menilai apa yang mereka pegang dan apa tanggungjawab mereka kepada negara.

Dalam konteks universiti, kita perlu membantu mereka membina identiti yang membolehkan mereka menjadi warga dunia tanpa kehilangan akar sebagai rak­yat Malaysia yang sesungguhnya bangga dengan jati diri itu.

Sebab itu jati diri bukan sekadar mengatakan ‘Saya orang Malaysia’, tetapi memahami nilai yang dipegang dan bagaimana nilai itu diterjemahkan melalui sumbangan kepada masyarakat dan negara.

Adakah kurangnya minat sebahagian anak muda terhadap sejarah negara menunjukkan mereka tidak patriotik, atau sebenarnya mereka mempunyai cara berbeza dalam menzahirkan kecintaan kepada Malaysia?

Saya tidak fikir kurangnya minat terhadap sejarah terutama­nya penceritaan secara langsung, bermaksud seseorang itu tidak patriotik.

Mungkin pendekatan kita terhadap pemahaman sejarah perlu berubah. Generasi terdahulu mungkin menerima sejarah dalam bentuk yang lebih konvensional, tetapi Gen Z mahu me­ngetahui mengapa sejarah itu penting kepada kehidupan mereka hari ini.

Jadi, daripada sekadar me­ngatakan, ‘Kamu mesti belajar sejarah kerana ini sejarah negara’ kita mungkin perlu membawa persoalan, ‘Apa yang boleh kita pelajari daripada sejarah untuk memahami Malaysia hari ini dan membawa kepada masa depan yang lebih baik?’

Pada saya, apabila sejarah dapat dikaitkan dengan identiti, isu masyarakat dan masa depan mereka, Gen Z lebih mudah melihat relevannya.

Kita harus menerima realiti bahawa Gen Z adalah generasi yang merasa lebih dihargai apabila sentiasa dikongsi maklumat serta mereka akan mentafsirkannya, bukannya ‘anda harus membuat ini dan itu’.

Jadikan diri kita sebagai contoh dalam membuat pentafsiran maklumat, mereka pasti akan merungkai kepada apa yang mereka harus buat melalui panduan tersebut.

Ironinya gaya hidup mereka ini memang sudah terbiasa de­ngan tetapan Like & Share (suka dan kongsi) dalam media sosial. Mereka tidak akan memaksa diri menerima sesuatu tanpa kere­laan diri sendiri.

Dalam era TikTok dan media sosial, apakah bentuk patrio­tisme yang relevan untuk Gen Z? Adakah mengibarkan Jalur Gemilang masih mencukupi untuk menggambarkan semangat cintakan negara?
Mengibarkan Jalur Gemilang masih relevan kerana simbol tetap mempunyai tempat dalam pembinaan identiti kebangsaan. Begitupun bagi Gen Z, patrio­tisme tidak hanya berhenti pada simbol atau perlambangan.

Dalam era media sosial, patriotisme boleh ditunjukkan melalui cara kita menggunakan teknologi dan maklumat dalam membangkitkan semangat patriotisme secara langsung mahu pun secara tidak langsung.

Contohnya, tidak menyebarkan berita palsu, mampu membezakan fakta dengan manipulasi digital, menggunakan platform media sosial untuk menyedarkan masyarakat, menghormati perbezaan pandangan dan menggunakan kepakaran digital untuk memberi manfaat kepada komuniti.

Bagi saya, patriotisme Gen Z ialah patriotisme yang lebih conscious (sedar) dan bertanggungjawab. Mereka bebas bersuara, tetapi perlu memahami tanggungjawab terhadap kesan suara tersebut.

Kita harus membuatkan mereka sedar bahawa kita menghargai mereka sebagai manusia bukan sekadar ‘pelajar kehidupan’.

Jadi, kibaran Jalur Gemilang adalah simbol atau perlamba­ngan cinta kepada negara baik secara fizikal mahu pun dalam dunia digital, tetapi bagaimana kita bertindak sebagai rakyat Malaysia sepanjang 365 hari itulah yang memberikan makna lebih besar kepada simbol tersebut.

Jika anak muda lantang menyuarakan pandangan kepada kerajaan, isu sosial, rasuah atau ketidakadilan, adakah tindakan itu boleh dianggap sebagai satu bentuk patrio­tisme dan kecintaan kepada negara?
Ya, pada saya ia boleh menjadi satu bentuk patriotisme dengan syarat suara itu datang bersama ilmu, fakta dan rasa tanggungjawab.

Kemerdekaan memberikan kita kebebasan untuk bersuara, tetapi kemerdekaan bukan bermaksud kita ‘bebas’ untuk bersuara tanpa ada rasa tanggungjawab.

Anak muda yang mempersoalkan sesuatu kerana mahu melihat negara menjadi lebih baik sebenarnya sedang menggunakan hak yang diberikan oleh kemerdekaan.

Cuma kita perlu membezakan antara suara yang membina de­ngan suara yang sekadar mencetuskan kebencian atau menyebarkan maklumat yang tidak benar.

Saya melihat patriotisme Gen Z bukan sebagai blindly obedient (kesetiaan membabi buta), tetapi sebagai patriotisme yang sedar dan bertanggungjawab.

Mereka boleh tidak bersetuju, boleh bertanya dan boleh berbeza pendapat, tetapi juga perlu bersedia untuk memahami isu, mende­ngar pandangan yang berbeza dan menawarkan penyelesaian.

Apakah peranan universiti dalam memastikan mahasiswa bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi turut mempunyai rasa tanggungjawab, identiti dan kecintaan terhadap negara?
Universiti mempunyai pe­ranan sangat besar kerana ia bukan hanya tempat melahirkan graduan tetapi tempat membentuk manusia dan pemimpin masa depan.

Untuk Gen Z, pendekatan pendidikan tidak boleh hanya berbentuk arahan. Mereka lebih responsif kepada dialog, pengalaman dan individu yang mereka percaya.

Mereka sering melalui proses emotional check in (monolog diri) bagi memastikan tidak tersasar daripada panduan yang sepatutnya kerana proses untuk melahirkan seorang pemimpin terbaik jua harus datang daripada idea dan pelaksanaan yang terbaik.

Cabaran sebenar universiti adalah untuk memastikan ekosistem di kampus mampu menjana satu persekitaran yang selamat secara psikologi, dipercayai dan tulus dalam membentuk minda yang positif.

Dalam konteks UniSZA, konsep future caliph (khalifah masa depan) seperti yang dirangka dalam Pelan Strategik UniSZA sangat relevan kerana pembangunan pelajar bukan hanya berkaitan ilmu akademik, tetapi turut merangkumi identiti, ketuhanan, kepimpinan, komuniti, kemahiran insaniah dan khidmat kepada masyarakat.

Konsep itu menyediakan ruang holistik untuk mahasiswa melalui setiap proses pembentukan minda yang sayangkan diri sendiri, keluarga, komuniti dan organisasi seterusnya apabila keperluan kepercayaan asas itu dipenuhi, ia akan menular untuk mengukuhkan kecintaan kepada negara.

Sempena Hari Kebangsaan, apakah mesej kepada Gen Z yang mungkin menganggap perjuangan kemerdekaan sebagai sejarah yang jauh daripada kehidupan mereka? Apakah sebenarnya makna ‘merdeka’ untuk generasi mereka?
Saya ingin katakan kepada Gen Z bahawa kemerdekaan bukan sekadar cerita tentang masa lalu. Kemerdekaan adalah tentang apa yang kita lakukan de­ngan kebebasan yang telah diwariskan kepada kita.

Generasi terdahulu berjuang untuk mendapatkan kebebasan. Gen Z pula mempunyai tanggungjawab untuk menentukan bagaimana kebebasan itu digunakan.

Bagi Gen Z, merdeka mungkin bermaksud berani berfikir sendiri, tetapi tidak menolak pandangan orang lain, bebas menggunakan media sosial tetapi bertanggungjawab terhadap maklumat, bebas memilih masa depan tetapi masih mempunyai tanggungjawab kepada negara dan bebas berbeza pendapat tetapi tetap menghormati perbezaan.

The post Tidak minat sejarah bukan bererti tak patriotik appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved