Gen Z sukar bertahan, suka ‘lompat’ kerja

23 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gen Z sukar bertahan, suka ‘lompat’ kerja

Generasi Z atau Gen Z sering dilabel sebagai golongan yang cepat bertukar pekerjaan atau job hopping apabila berdepan tekanan, budaya kerja toksik dan ketidakpuasan terhadap pekerjaan.

Namun, fenomena itu perlu dilihat daripada sudut lebih luas, termasuk faktor pengalaman membesar, pengaruh media sosial, proses mencari identiti, daya bangkit serta keupayaan menangani tekanan.

Menurut Prof. Madya Dr. Hazalizah Hamzah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak itu, pengalaman selama enam tahun sebagai ketua jabatan psikologi dan kaunseling, selain penglibatan dalam industri, penyelidikan, latihan industri dan bidang psikologi industri dan organisasi memberi perspektif terhadap tingkah laku pekerja Gen Z.

Wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Fahmi Ismail menemu bual beliau bagi mendapatkan pandangan mengenai kecenderungan Gen Z dalam alam pekerjaan.

KOSMO AHAD!: Gen Z se­ring dilihat cepat bertukar pekerjaan apabila berdepan tekanan, budaya kerja toksik atau ketidakpuasan hati. Adakah pandangan itu tepat?
DR. HAZALIZAH: Perkara ini sangat lazim dikaitkan dengan Gen Z. Kita sering mendengar golongan ini tidak tahan tekanan, menganggap budaya tempat kerja sebagai toksik dan sering menyuarakan ketidakpuasan terhadap pekerjaan. Ada mengatakan Gen Z kurang tahan tekanan, tetapi pada masa sama mereka sangat mementingkan kesejahteraan mental dan keseimbangan antara kehidupan keluarga dan pekerjaan.

Kalau kita bercakap mengenai ciri-ciri pekerja Gen Z, mereka merupakan satu generasi sangat berstruktur.

Contohnya, apabila mereka hendak bekerja, perkara pertama mereka tanya ialah mengenai skop pekerjaan.
Apabila sudah diterima dan diminta melakukan sesuatu yang tidak ditulis dalam skop pekerjaan, mereka mungkin akan me­ngatakan, ‘perkara ini tiada dalam skop pekerjaan saya’.

Bagaimana pula sikap Gen Z terhadap waktu be­kerja?
Kita boleh lihat mereka tiba di tempat kerja hampir waktu be­kerja. Kalau masuk pukul 8 pagi, mungkin pukul 7.55 pagi mereka sampai. Kemudian, tepat pukul 5 petang misalnya, mereka akan meninggalkan tempat kerja dan tidak mahu diganggu selepas waktu pejabat.

Semua itu dikaitkan dengan hak mereka untuk menjaga kesihatan mental serta mendapatkan keseimbangan antara hidup dan kerja. Perkara seperti ini pada pandangan saya kurang muncul dalam generasi-generasi lebih tua yang sanggup bekerja di luar skop pekerjaan dan di luar waktu bekerja.

Contohnya, bagi kakitangan kerajaan, selain skop pekerjaan, terdapat klausa me­lakukan apa-apa kerja seperti di­­arahkan ketua. Itu satu klausa terbuka yang menyebabkan kita terikat untuk melakukan kerja di luar skop.

Adakah pekerja Gen Z tidak boleh bekerja di luar waktu atau skop tugas?
Bukan begitu. Saya faham di pihak swasta juga ada keadaan seperti itu kerana kita tidak tahu bila berlaku insiden kritikal di tempat kerja memerlukan seseorang bekerja di luar waktu.

Saya yakin secara majoritinya bos atau ketua adalah rasional dan menghormati masa bekerja bersama keluarga, melainkan berlaku sesuatu mendesak.

Contohnya, apabila berlaku kecemasan besar, semua orang terlibat dalam operasi menyelamat, menyantuni dan menenangkan keluarga, menghantar bantuan makanan dan perlu bekerja di luar waktu be­kerja serta di luar skop pekerjaan.

Dalam keadaan kecemasan seperti itu, kita memerlukan pandangan berbeza supaya kerja tidak terjejas. Bagaimanapun, secara umum, bekerja di luar skop pekerjaan dan di luar waktu bekerja kurang sesuai dengan Gen Z kerana mereka menekankan kesejahte­raan mental serta keseimbangan hidup dan kerja.

Adakah faktor cara Gen Z dibesarkan turut mempe­ngaruhi sikap mereka terhadap pekerjaan?
Saya lihat perkara ini mungkin boleh dikaitkan dengan ciri-ciri serta pengalaman mereka membesar, selain kemajuan teknologi dan kemampuan ekonomi Malaysia yang berkembang pesat.

Gen Z secara umumnya lahir daripada ibu bapa mempunyai pekerjaan serta pendidikan lebih baik berbanding zaman sebe­lumnya. Cara membesarkan anak juga berbeza dan kebanyakan mereka dibesarkan dalam keadaan lebih selesa.

Kalau zaman saya dulu, mungkin saya bekerja pada usia sangat muda, termasuk bekerja di kilang dan duit itu digunakan untuk membantu keluarga.

Tetapi Gen Z ketika cuti semester atau menunggu keputusan peperiksaan mungkin be­kerja bukan untuk membantu keluarga, sebaliknya bagi memenuhi keinginan sendiri seperti mahu bercuti, membeli pakaian baharu, healing atau keluar bersama rakan-rakan.

Dari segi kemudahan asas kehidupan, kebanyakan anak Gen Z juga hidup dalam keadaan lebih selesa. Contohnya, pergi ke sekolah dihantar, balik dijemput.

Mungkin keadaan itu menjadikan sebahagian pekerja Gen Z kurang mampan apabila berhadapan tekanan atau apabila mereka berasa tidak serasi de­ngan pekerjaan.

Sejauh mana media sosial mempengaruhi cara Gen Z melihat pekerjaan?
Pendedahan keterlaluan terhadap media sosial mungkin menyebabkan Gen Z terdedah kepada jangkaan atau keinginan sangat luas. Pendedahan itu juga berlaku sejak usia muda apabila mereka menggunakan telefon dan media sosial di sekolah menengah.

Mereka mungkin mengimpikan tempat kerja yang sejahtera, selesa dan membolehkan mereka bekerja mengikut masa sendiri.

Perkara itu mungkin dipe­ngaruhi kandungan media sosial termasuk pempengaruh yang memperoleh pendapatan melalui platform berkenaan, sedangkan apa dipaparkan mungkin benar dan mungkin juga tidak.

Apabila realiti tempat kerja tidak memenuhi jangkaan tersebut, ketidakpuasan boleh timbul dan prestasi kerja mungkin terjejas.

Begitu juga pendedahan kepada permainan dalam talian yang boleh menyebabkan seseorang sukar menyesuaikan diri dengan tempoh bekerja panjang tanpa peluang melakukan perkara yang biasa dilakukan ketika berada di rumah.

Apabila prestasi tidak seperti diharapkan ketua semestinya akan menegur. Teguran dibuat berulang kali mungkin menyebabkan timbulnya anggapan bahawa tempat kerja itu toksik.

Dari sudut psikologi industri, apa perlu dibangunkan dalam kalangan Gen Z?
Satu perkara perlu dibangunkan ialah resilience atau daya bangkit. Ia bermaksud kemampuan seseorang untuk bangkit semula selepas melalui suasana yang menekan, pengalaman traumatik atau kejadian yang sangat membebankan.

Ia bukan sekadar kemampuan bertahan ketika stres, tetapi ke­upayaan bangkit semula selepas melalui pengalaman mencabar.

Di tempat kerja, seseorang mungkin berdepan deadline atau dimarahi bos kerana me­lakukan kesilapan. Persoalannya ialah bagaimana untuk bangkit daripada pengalaman itu supaya kita tetap terus bekerja.
Kehidupan bukan satu garis lurus, sebaliknya mempunyai gelombang naik dan turun.

Di tempat kerja juga begitu. Ada masa kita di kemuncak apabila berjaya mencapai sesuatu, namun ada ketika berada di titik terendah selepas melakukan kesilapan, ditegur, dimarahi atau dihukum.

Bagaimana pula aspek keagamaan boleh membantu seseorang menghadapi tekanan di tempat kerja?
Sebagai seorang Islam, saya yakin setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya. Kita perlu bersyukur walaupun berada di titik terendah.

Kalau seseorang menganggap bosnya toksik, mungkin bos yang dianggap toksik itu sebenarnya menyebabkan kita menjadi lebih kuat kerana pada masa depan ­Allah mahu menyediakan kita satu jawatan lebih besar atau tanggungjawab lebih berat.

Mana tahu cara kita berdepan dengan budaya toksik itu menyebabkan kita lebih bersedia menggalas tanggungjawab yang lebih besar dan cabaran yang lebih berat di tempat kerja.

Kita kena fikir dari segi hikmah dan mempunyai perasaan ber­syukur. Dalam psikologi positif, kita panggilnya gratitude atau rasa bersyukur.

Bukan apabila berdepan tekanan kita terus berhenti. Tidak puas hati, kita berhenti. Rasa toksik, kita berhenti. Kita perlu membina kekuatan untuk berhadapan dengan perkara itu.

Apakah strategi boleh bantu Gen Z menghadapi tekanan?
Dari segi teori, kita perlu membetulkan aspek pemikiran dan persepsi dahulu. Apabila sesuatu isu berlaku, kita perlu bertanya sama ada perkara itu ada kaitan dengan kita. Kalau tidak, ketepikan dan jangan biarkan ia terus mempengaruhi diri.

Jika masalah itu ada kaitan dengan kita dan boleh memberi kesan, kita perlu melihat sama ada ia boleh diselesaikan. Jika boleh, fikirkan penyelesaian, minta bantuan, bertanya, membaca atau memperbaiki diri.
Tidak salah untuk meminta bantuan dalam usaha menyelesaikan masalah.

Jika dapat di­selesaikan, kita tidak perlu membiarkan diri terus tertekan. Jika tidak selesai, kita perlu tahu bagaimana me­ngatasi tekanan kerana stres menyebabkan seseorang mengalami sakit kepala, berdebar atau hilang selera makan.

Inilah kemahiran perlu dibantu dan dibangunkan dalam kalangan Gen Z. Bukan setiap kali tertekan kita berhenti. Tidak suka bos, berhenti. Nampak bos pilih kasih, berhenti. Itu bukan cara yang sepatutnya.

Bagaimana pula teori perkembangan psikososial Erik Erikson boleh dikaitkan dengan Gen Z?
Teori perkembangan psikososial oleh Erik Erikson mempu­nyai sembilan tahap perkemba­ngan manusia. Gen Z paling muda bekerja mungkin berusia sekitar 18 tahun, termasuk mereka be­kerja sambilan selepas tamat pe­periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sementara menunggu peluang menyambung pengajian.

Pada usia itu, mereka masih remaja dan cabaran perkemba­ngannya mencari identiti. Mereka masih dalam proses mengenali diri dan meneroka, termasuk persoalan mengenai perkara yang mereka mahu, masa depan serta hala tuju kehidupan.

Proses membina identiti itu berlangsung hingga awal dewasa dan pada usia 20-an pun masih ada individu mencari identiti. Apabila sudah mengenali diri termasuk perkara disukai, pekerjaan diminati dan konteks kerja diingini, mereka bera­lih kepada fasa intimacy versus isolation.

Fasa itu merupakan peringkat awal dewasa ketika seseorang mula mencari pasangan hidup.

Ada yang berkahwin pada usia 29 atau 30 tahun, namun ada juga yang masih belum mempunyai pasangan dan mungkin berasa tersisih atau kesunyian apabila rakan sebaya sudah berkahwin serta mempunyai anak. Jadi, ini merupakan dua fasa perkembangan yang sedang dilalui oleh Gen Z pada masa ini.

Bagaimana proses mencari identiti mempengaruhi tingkah laku di tempat kerja?
Gen Z yang masih muda dan dalam proses mencari identiti mungkin sukar menyesuaikan diri di tempat kerja kerana mereka sendiri belum mempunyai identiti yang jelas. Mereka mungkin masih tidak tahu apa yang dimahukan dan perkara disukai

The post Gen Z sukar bertahan, suka ‘lompat’ kerja appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved