Tidak mungkin Zara Qairina jatuh secara tidak sengaja atau ditolak - Pakar Patologi

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 1:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Bhupinder (tengah) bersama Ram (kiri) dan rakan sepasukannya tiba di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu pada Isnin.

 

KOTA KINABALU - Seorang pakar patologi forensik memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa adalah tidak mungkin Allahyarham Zara Qairina Mahathir terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri.

Saksi inkues ke-68, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, 74, berkata, terdapat kemungkinan Zara Qairina memanjat dan melepasi rel di tingkat tiga bangunan asrama.

Katanya, pemeriksaan lokasi kejadian telah dijalankan pada 2 Ogos 2025 di blok asrama sekolah tersebut di Kinarut, Papar.

"Ketinggian rel logam di tingkat tiga ialah 118 sentimeter berbanding ketinggian si mati 154 sentimeter, dengan perbezaan 36 sentimeter. Ini menunjukkan rel berada di atas pusat graviti si mati.

"Berdasarkan ukuran, adalah tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri.

"Namun, adalah berkemungkinan untuk dia memanjat dan melepasi rel tersebut," katanya dalam kenyataan bertulis yang dibacakan di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.

Beliau berkata, keseluruhan kecederaan yang ditemui adalah konsisten dengan kes jatuh dari tempat tinggi.

Katanya, si mati mendarat pada kedua-dua kaki sebelum impak dipindahkan ke bahagian tulang belakang, sebelum kemudian jatuh ke belakang, lebih kepada sebelah kiri.

"Ini lazim berlaku dalam kes jatuh dari tempat tinggi di mana daya hentakan dipindahkan ke atas melalui tulang belakang. Tekanan nyahpecutan boleh menyebabkan kerosakan pada rangka aksial dan patah tulang kaki secara dua hala.

"Terdapat juga luka lecet kecil di belakang lengan kiri dan siku kiri, namun kecederaan ini bersifat ringan tanpa kerosakan tisu dalaman," katanya.

Tambahnya, hentakan seterusnya menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan kiri, lengan kiri, siku kiri dan belakang kepala.

"Daya hentakan turut menyebabkan patah vertebra lumbar kedua hingga keempat serta hematoma otot psoas dan pelvis.

"Hentakan pada kepala menyebabkan pendarahan subdural dan subaraknoid yang membawa kepada pembengkakan otak dan ensefalopati hipoksik iskemik sebelum kematian," katanya.

Beliau berkata, kecederaan tambahan pada sternum berkemungkinan berlaku akibat resusitasi kardiopulmonari (CPR) kerana tiada tanda trauma pada tisu sekeliling.

Katanya, tiada kecederaan pada organ lain yang menyumbang kepada kematian.

"Corak kecederaan menyokong bahawa mangsa jatuh ke atas kaki sebelum jatuh ke belakang, berkemungkinan mengenai tepi longkang simen," katanya.

Untuk rekod, Dr Bhupinder merupakan saksi yang dikemukakan pasukan peguam mewakili salah seorang daripada lima remaja yang dituduh berkaitan kes tersebut untuk membantu dalam inkues ini.

Barisan peguam tersebut terdiri daripada Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan manakala empat pelajar lain diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.

Dalam inkues ini juga, ibu Zara Qairina iaitu Noraidah Lamat turut diwakili barisan peguam, Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Sementara itu peguam yang mewakili bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Pasukan pegawai pengendali pula terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus, manakala Hakim Koroner ialah Amir Shah Amir Hassan.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.