Pelajar dirempuh di sekolah: Seorang lagi mangsa parah, dirawat di zon merah

12 Apr 2026 • 9:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahli keluarga memenuhi Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (Hospital Pakar USM) di Kota Bharu pada Ahad. - Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
image is not available
Dua pelajar dirempuh kereta di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas.

KOTA BHARU – "Seorang lagi pelajar mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)."

Demikian kata Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berhubung kes kemalangan melibatkan dua pelajar di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini.

Mohd Azmir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, dua pelajar Tingkatan Satu sedang memakai kasut sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita di dalam kawasan sekolah dipercayai tertekan pedal minyak sebelum hilang kawalan.

**media[3489548]**

“Kereta tersebut kemudian terbabas ke hadapan dan melanggar dua pelajar yang berada di hadapan surau sekolah berkenaan sebelum turut merempuh tiang batu surau,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam kejadian itu, seorang pelajar yang dikenali sebagai Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (Hospital Pakar USM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

Menurut beliau, pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau talian 09-7752315.