
PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Balqis berang apabila dirinya kerap menerima amaran daripada peminat yang ‘taksub’ terhadap pelakon gandingannya.
Menerusi hantaran di Instagram, Balqis mendakwa dirinya kerap menerima amaran supaya menjaga batas dan tidak mendekati hero gandingannya, malah mempertikaikan dirinya kerap membawa watak remaja hamil.
“Biarlah aku mengandung 50 kali pun dalam drama. Tidak perlu beri amaran banyak kali. Jangan kacau pelakon itu, pelakon ini. Dia kami punya.
“Ambillah, lelaki dalam industri sangat membosankan tiada aura. Kebanyakkannya sama saja,” katanya.
Menurut Balqis, keberadaannya dalam industri seni hanya sekadar untuk mencari sesuap rezeki bahkan sanggup membanting tulang untuk menyara kehidupannya.
“Ini bukan waktunya saya tolak rezeki semata kerana kalian tidak sukakan aku. Ini waktunya untuk aku simpan duit sebanyak mungkin. Malaysia bukan Hollywood, sekali filem dibayar 14 juta.
“Kalau Malaysia bayar aku 14 juta, tidak adalah aku mengandung dalam drama. Aku simpan duit, jalankan perniagaan diam-diam. Sementara menunggu kalau ada rezeki dapat naskhah yang lebih bagus.
“Pengurus aku bukan jenis pergi berseronok untuk ‘bodek’ untuk dapatkan tawaran. Cukuplah mak aku pernah ditipu dengan pengurusan artis lain. Kami tidak benarkan perkara itu terjadi lagi. Kalian apa tahu tentang anak seni yang betul-betul cari rezeki?” tegasnya.
Dalam masa sama, Balqis turut menyifatkan segelintir peminat seolah tidak mempunyai maruah dan hilang harga diri apabila terlalu mengagumi seseorang pelakon lelaki tanpa sedar akan batasan yang sewajarnya.
“Ironinya, watak kalian pun sama saja dalam ruangan komen. Bila berlakon, dipaksa bercinta sampai kehidupan nyata.
“Komen seperti tiada maruah. Nafsu seperti arnab aku. Acah terpaling mahu ikut peminat Korea. Hilang haram bila tengok lelaki.
“Tidak perlu beri amaran kepada aku macam-macam. Tidak perlu ingatkan aku jangan ambil lelaki ini, jangan ambil lelaki itu dalam industri.
“Aku bekerja tidak kacau sesiapa. Kau tidak bagi kami makan tapi sibuk hendak tentukan bagaimana aku patut cari makan,” bidasnya.
Bagaimanapun, Balqis tidak mendedahkan secara terperinci nama hero yang dimaksudkan dalam hantaran tersebut.
Namun, rata-rata netizen mendakwa perkongsian itu ditujukan buat peminat pelakon, Zarif Ghazzi susulan mereka sedang bergandingan menerusi drama Dua Nyawa.
The post Tidak perlu beri amaran banyak kali, aku bekerja tak kacau sesiapa – Puteri Balqis appeared first on Utusan Malaysia.






