hamden28/08/2026 - 16:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos - Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin-Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) mencatatkan satu pencapaian penting apabila berjaya mengendalikan 100,000 Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki (TEU) dalam tempoh hanya 4.5 bulan sejak beroperasi sepenuhnya.
Pencapaian itu mengukuhkan kedudukan PIP sebagai komponen penting dalam ekosistem logistik negara, sekali gus mempercepatkan usaha menjadikan Perlis sebagai pintu masuk strategik perdagangan rentas sempadan dan hab logistik serantau.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pencapaian tersebut membuktikan potensi besar PIP sebagai pintu masuk perdagangan rentas sempadan negara.
“Pencapaian 100,000 TEU dalam tempoh hanya 4.5 bulan menunjukkan potensi besar PIP sebagai pintu masuk strategik perdagangan rentas sempadan negara.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan kelebihan lokasi Perlis ini diterjemahkan kepada kos logistik yang lebih kompetitif, pelaburan bernilai tinggi dan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya ketika mengadakan lawatan ke PIP di sini.
PIP merupakan antara komponen utama dalam usaha memperkukuh ekosistem logistik negara dan memacu pertumbuhan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Infrastruktur Fasa 1 PIP mempunyai kapasiti pengendalian sehingga 300,000 TEU setahun, dengan operasi dari Terminal Kontena Padang Besar dipindahkan secara berperingkat ke kemudahan tersebut bagi menampung peningkatan pergerakan kargo dari selatan Thailand dan rantau ASEAN.
Menurut Akmal Nasrullah, PIP mempunyai potensi untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau menerusi rangkaian rel, jalan raya dan pelabuhan yang saling berhubung.
Ia sekali gus menyediakan akses lebih cekap ke pasaran ASEAN, China dan rantau yang lebih luas.
Semasa lawatan tersebut, beliau turut diberikan taklimat mengenai perancangan peluasan PIP yang merangkumi pembangunan On-Dock Depot, peluasan kawasan kontena serta peningkatan perkhidmatan pengendalian kargo bersama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).
Perkhidmatan rel harian STC dari Perai ke PIP, yang beroperasi sejak Disember 2025, turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh integrasi pengangkutan multimodal.
Perkhidmatan itu menyediakan pilihan pengendalian kargo yang lebih pantas dan cekap, sekali gus meningkatkan daya tarikan PIP sebagai hab logistik rentas sempadan. - DagangNews.com

