Tidak Sempat Sertai Himpunan RXZ, Eksekutif Jualan Maut Kemalangan

LocalCars
22 Aug 2025 • 4:01 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Perjalanan seorang eksekutif jualan untuk menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 berakhir tragedi apabila motosikal Yamaha RXZ ditungganginya terbabas di Jalan Palong 8, Bera, pagi tadi.

Tak sempat sertai himpunan RXZ

Menurut laporan Berita Harian, mangsa, Mohd Syukri Shahrudin, 33, dari Taman Sedia Raja, Chembong, Rembau, meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan tangan.

image is not available

Foto: BH

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa menunggang bersama konvoi menuju ke Terengganu.

“Siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya membelok ke simpang kanan, namun terus bergerak lurus sebelum merempuh tebing bahu jalan. Kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalannya mengawal motosikal,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan jalan lurus, berturap baik serta pencahayaan jelas. Difahamkan, mangsa berada di barisan hadapan dalam konvoi membabitkan lebih 60 motosikal yang bergerak dari arah Rembau.

image is not available

Foto: FB Negeri Sembilan Kini

“Tiada sebarang saman trafik direkodkan ke atas mangsa. Motosikal berkenaan akan dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan, manakala mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Bera bagi tujuan bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian (Khirrul Nirwan Bahaudin)