KUALA TERENGGANU - Polis tidak menolak kemungkinan untuk mengklasifikasikan semula kes tragedi pelantar minyak FSO Sepat kepada kes jenayah atau kecuaian jika terdapat bukti kukuh.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kini telah pun dihantar ke pelantar minyak yang terletak 150 kilometer (km) dari perairan Kuala Terengganu itu untuk menjalankan siasatan lanjut.
Bagaimanapun, menurutnya, buat masa ini, kes kematian tiga pekerja luar pesisir (offshore) warga tempatan itu disiasat di bawah laporan mati mengejut (SDR).
"Sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur jenayah atau kecuaian, kes itu akan diklasifikasikan semula dan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Siasatan Jenayah.
"Ketika ini proses bedah siasat sedang dijalankan dan polis masih menunggu laporan penuh berhubung punca kematian mangsa," katanya kepada media di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi bot penyelamat terjatuh: 'Happy birthday kakak' ucapan terakhir Hafifi sebelum maut
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pandang serius insiden maut pekerja pelantar minyak, pastikan keselamatan diperkukuh - PM
Sementara itu, Azli turut memberi amaran keras kepada netizen agar menghentikan segera penyebaran pelbagai spekulasi dan dakwaan tidak sahih yang kini sedang tular meluas di media sosial.
Tegas beliau, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja boleh mengganggu siasatan pihak polis, malah mampu menimbulkan kekeliruan parah dalam kalangan masyarakat.
Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, tiga pekerja syarikat perkapalan disahkan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot penyelamat dinaiki dilaporkan terjatuh dari ketinggian 20 meter.
Menurut Azli, insiden itu dipercayai berpunca apabila tali atau cangkuk (hook) yang dipasang pada bot penyelamat berkenaan tiba-tiba tercabut, menyebabkan kesemua mangsa bersama bot tersebut terjatuh ke dalam laut.
Mangsa maut dikenali sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Melaka, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang serta Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.
Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah akibat patah tulang dan kini menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).


